July 29, 2008

Sekitar Jambori Amal Negeri Selangor di Pantai Kelanang, Morib

Taman Dagang Jaya, 29 Julai 2008 - Seramai kira-kira 8 orang peserta Jambori Amal peringkat Negeri Selangor mewakili Unit Amal Ampang bertolak dari Markaz PAS Kawasan Ampang pada jam 11.30 malam 25 Julai yang lalu. Mereka terdiri dari penyelaras Unit Amal Ampang, Saudara Muhamad Shahril Muhamad Shuhaimi, Ustaz Mohd Amir Abd Kadir, Saudara Muhammad Syafiq Abdullah, Aminuddin, Zul, Hafiz, Yassir dan Iskandar.

Jambori ini diadakan di Pantai Kelanang, Morib bermula malam 25 Julai dan berakhir selepas solat Zohor 27 Julai. Pelbagai aktiviti diadakan antaranya perlawanan bolasepak (macam bolesepak pantai sebab tak ada rumput), pertandingan nasyid dan sebagainya. Kumpulan Fazs turut membuat persembahan selaku artis jemputan. Berikut adalah sebahagian dari aktiviti-aktiviti para peserta dari lensa peserta Ampang.
























































"Beramal Kerana ALLAH"

- aq

July 27, 2008

TAZKIRAH : Hak Ibubapa - Tuntutan dan Tanggungjawab Anak-anak

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam dunia moden yang penuh dengan kesibukan ini, ada insan yang seringkali lupa untuk melaksanakan hak-hak ibubapa mereka. Malah disebabkan kepentingan diri, ada yang sanggup mengabai dan membiarkan ibubapa mereka hidup bersendirian tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kesilapan ini perlu segera diperbetulkan selaras dengan tuntutan Islam terutama mereka yang berada di dalam gerakan Islam.

Hak ibubapa telah dijelaskan Allah Ta'ala, firmanNya yang bermaksud :

"Dan hendaklah kamu meyembah Allah dan jangan kamu menyekutukanNya dengan sesuatu dan hendaklah kamu berbuat baik kepada dua ibubapa". (An-Nisa' - 4:36)

"Dan Tuhanmu telah memerintah supaya jangan kamu sembah melainkan kepadaNya dan hendaklah berbuat baik kepada dua ibubapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya telah meningkat tua maka janganlah engkau berkata kepada mereka : "uf" dan jagan mengherdik kedua mereka, dan hendaklah berkata kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua kerana sayang dan katakan : "Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara akan daku waktu kecil". (Al-Isra' - 17:23-24).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :

"Berbuat baiklah terhadap ibubapa kamu, nanti anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu".

"Syurga itu di bawah telapak kaki ibu".

Jelaslah di sini bahawa setiap orang hendaklah mengetahui akan hak-hak ibubapa dan hendaklah berbuat baik kepada kedua-duanya dan jangan sekali-kali membantah atau menentang percakapan mereka mereka. Allah SWT telah mewajibkan kita mematuhi perintah mereka yang tidak bersalahan dengan syarak.

Wahai sahabat-sahabat sekalian. Ayat di atas sudah cukup dijadikan sebagai dalil yang menunjukkan kemuliaan ibubapa dan betapa besarnya hak kedua mereka yang wajib dilaksanakan oleh anak-anak terhadap kedua-dua mereka.

Sabda Rasululllah S.A.W. yang bermaksud :

"Keredhaan Allah terletak pada ibubapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan dua ibubapa".

Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud :

"Sesiapa yang menjai keredhaanKu, sedangkan menjadi kemarahan bagi ibubapaya, maka Aku murka terhadapnya. Sesuiapaa yang menjadi kemurkaanKu, tetapi menjadi keredhaan ibubapanya, maka Aku redha kepadanya".

Adakah kita suka mendapat kemurkaan Allah dan tidak dilayan baik oleh anak-anak kita? Kalau begitulah yang akan kita perolehi, tentulah kita tidak suka yang demikian itu.

Sebagaimana seseorang itu wajib berbuat baik kepada kedua ibubapa semasa mereka hidup, begitu juga ia mesti berbuat baik selepas mereka meninggal dunia iaitu dengan cara :
  • Berdoa dan memohon istighfar untuk mereka berdua
  • Membayar hutang piutang mereka
  • Menunaikan wasiat mereka
  • Mengunjungi keluarga dan kaum kerabat mereka
  • Berbuat baik kepada kawan-kawan mereka dan orang-orang yang mereka kasihi
Janganlah lalai melakukan kebajikan yang tersebut itu terutamanya hak kedua ibubapa, hak kaum kerabat serta orang-orang yang berhak dan kaum muslimin umumnya. Dan jangan sesekali terperangkap kepada godaan syaitan sehingga ada yang sanggup menyalahi ibubapa. Ini kerana menderhaka kepada dua ibubapa termasuk dosa besar. Bukankan sahabat-sahabat pernah mendengar sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

"Sebesar-besar dosa itu tiga perkara :
  1. Menyekutukan Allah
  2. Menderhaka dua ibubapa
  3. Kesaksian palsu"
Dalam hadith yang lain Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya :

"Tiga golonga Allah mengharamkan syurga ke atas mereka :
  1. Kaki arak
  2. Orang yang menderhaka kepada dua ibubapa
  3. Orang dayus yang membenarkan kejahatan di dalam keluarganya."
KITA memohon perlindugan Allah daripada kemurkaanNya. Kita juga memohon taufiq moga-moga mendapat kerehaanNya. Amin! - aq

PROGRAM Motivasi Dan Kursus Kesempurnaan Solat Di Semua Masjid Dan Surau

Ampang, 27 Julai 2008 (24 Rejab 1429) - "Kita akan buat Program Motivasi dan Kursus Kesempurnaan Solat ini di seluruh masjid dan surau sekitar Ampang", kata Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang, Ustaz Fazlul Rahimi Maarop (gambar).

Menurutnya, program seumpama ini amat penting memandangkan keadaan remaja masakini tidak kira sama ada di bandar atau kampung adalah amat membimbangkan. "Kita boleh lihat di mana-mana sahaja remaja berpeleseran, pergaulan bebas lelaki dan perempuan dan sebagainya terutamannya bila musim perayaan atau apa juga sambutan seperti malam tahun baru atau sambutan kemerdekaan negara setiap tahun".

Menyedari kewajipan pencegahannya, Dewan Pemuda tampil dengan pelbagai kaedah. Selain dari mengedar risalah setiap minggu, penganjuran program-program motivasi dan seumpanya diperbanyakkan. Menurut Ustaz Fazlul lagi, "Dulu bukan semua surau kita boleh masuk untuk buat program, masjid langsung tak merasa. Sebab tu dulu kita banyak edar risalah je. Sekarang semuanya dah berubah, kita akan gunakan segala kemudahan untuk manfaat bersama". Beliau bagi pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang menyeru kepada masyarakat di Ampang khususnya agar sama-sama menyumbang sama ada tenaga, wang ringgit, buah fikiran dan apa saja dalam menjalankan tanggungjawab amar maaruf nahi mungkar. - aq

July 22, 2008

PAS mengaku bertemu dengan Pendana Menteri

Written by Tuan Guru Haji Abdul hadi Awang
Monday, 21 July 2008

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menterti yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan YB Ustaz Nasharudin Mat Isa Timbalan Presiden PAS, Dato' Mustapha Ali, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan YB Hj Abd Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa melayu di msia

20 Julai, 2008

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG

Presiden

Parti Islam Se Malaysia (PAS)

July 21, 2008

YB Meraikan Sukaneka PASTI ILMI Taman Dagang Jaya


Padang Dewan MPAJ, 19hb Julai 2008 - Sempena Temasya Sukaneka PASTI Ilmi Taman Dagang Jaya yang diadakan di sini, YB Khasim Abdul Aziz telah sudi hadir untuk merasmikan program ini. Temasya kali ini telah dihadiri oleh lebih kurang 500 orang para ibu bapa anak-anak yang belajar di PASTI Ilmi Taman Dagang Jaya, Ampang.

Dalam ucapan perasmian, ADUN Lembah Jaya telah menyatakan bahawa pentingnya ibubapa memastikan anak-anak mendapat asas pengetahuan Islam di pusat-pusat asuhan yang dapat mencorak pemikiran mereka supaya menjadi lebih peka dengan kewajipan sebagai Muslim yang baik.

Saudara Khasim juga menjelaskan bahawa beliau menerima banyak permohonan dari sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjayakan program di sekolah tetapi agak kesal dengan tindakan kementerian yang melarang semua wakil rakyat dari Pakatan Rakyat memasuki premis sekolah untuk merasmikan program-program di sekolah. Sungguhpun demikian, ini tidak sama sekali menghalang beliau untuk menghulurkan bantuan sekiranya dirasakan perlu.

Selepas upacara perasmian, Saudara Khasim turut bersama ibu bapa bersenam robik selama kira-kira 10 minit di padang tersebut dengan diketuai oleh Tuan Haji Ramli Said. Sesungguhnya, kehadiran YB Khasim Abdul Aziz pada pagi tersebut bersama ibu bapa dan anak-anak PASTI Ilmi Taman Dagang Jaya memberi gambaran tentang keperihatinan wakil rakyat Pakatan Rakyat terhadap generasi muda hari ini yang akan mewarisi kepimpinan masyarakat di masa akan datang.

July 18, 2008

Tazkirah - Sanggup Terjun Ke Dalam Neraka

"Ada di kalangan manusia yang memohon kepada Allah supaya segala rahsia keburukan diri mereka tidak didedahkan di khalayak ramai"

ADI BIN HATIM R.A meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah S.A.W. Katanya baginda bersabda yang bermaksud :

"Tidak ada seorang pun antara manusia di akhirat kelak kecuali dia akan berhadapan dengan Allah S.W.T. Antara manusia dan Tuhan tidak ada jurubahasa (tidak ada pegawai protokol)".

H.R Muslim

Pertemuan dengan Allah S.W.T. di akhirat kelak adalah suatu yang pasti, meskipun pertemuan itu dengan berebagai-bagai cara. Mukmin yang soleh bukan sekadar bertemu dengan Allah S.W.T., malah dapat menatap wajah Tuhan yang Maha Agung, setelah mereka dapat melakukan sujud di hadapan Allah di akhirat kelak.

Golongan mukmin yang 'ashi tetap bertemu Allah S.W.T., namun mereka tidak dapat menatap wajah Tuhan yang Maha Agung itu. Sekiranya golongan mukmin yang 'ashi ini tidak dapat menatap wajah Tuhan, maka lebih-lebih lagi golongan yang kufur tetrhadap Allah S.W.T.

Walau bagaimanapun mereka pasti bertemu Allah S.W.T., malah pertemuan itu tanpa jurubahasa ataupun perantara. Yang dikatakan mereka bertemu dengan Allah itu ialah mereka pasti berhadapan dengan mahkamah Allah S.W.T. Di mahkamah Qadhi Rabbul Jalil itu tidak memerlukan bantuan malaikat bagi menjalankan tugas pendakwaan, serta tidak memerlukan jurubahasa bagi menterjemahkan segala perbuatan keji dan kemungkaran yang manusia lakukan.

Segala urusan sejak daripada pendedahan segala rahsia perbuatan jahat dan keji mereka, sehingga penyerahan segala catatan akan dilakukan olej Allah S.W.T. sendiri. Rasulullah S.A.W. menjelaskan dalam hadisnya bahawa setiap hamba pasti berdepan dengan Allah S.W.T. di akhirat kelak tanpa sebarang jurubahasa.

Dalam hadis yang lain Rasulullah S.A.W. menjelaskan mengenai hari pendedahan yang akan dilakukan oleh Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya di akhirat kelak, sehingga ada di kalangan manusia yang memohon kepada Allah supaya segala rahsia keburukan diri mereka tidak didedahkan di khalayak ramai dan juga tidak didedahkan di hadapan Allah. Mereka juga tidak sanggup menanggung malu yang amat sangat.

Sesetengah mereka menganggap lebih baik mereka dicampakkan terus ke dalam neraka, asalkan tidak didedahkan segala perbuatan mereka yang keji dan hodoh. Rasa malu yang tidak tertanggung bakal rasai apabila keaiban dirinya menjadi tontonan orang ramai yang berada di padang Mahsyar itu.

Malu bagi sesetengah manusia adalah suatu perkara yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Sebab itu ada manusia yang disebabkan merasa maalu kerana keburukannya terbongkar, mereka sanggup lari malam meninggalkan kampung halaman secara senyap-senyap. Yang lebih dahsyat lagi ada yang sanggup membunuh diri semata-mata kerana tidak sanggup menanggung malu.

Begitu juga halnya yang terjadi di padang Mahsyar. Akan ada manusia yang bersedia terjun terus ke kawah neraka daripada dimalukan di khalayak ramai. Bukan bererti bahawa pilihannya supaya dia dicampakkan terus ke dalam neraka itu lebih baik daripada peristiwa yang memalukan itu, namun demikianlah keadaan gawat yang berlaku di padang Mahsyar apabila Allah S.W.T. melaksanakan sesi Yaumul 'Ardh.

Itulah suatu peringatan bagi manusia yang tidak sanggup menanggung malu di padang MAhsyar, sebaik-baiknya mereka mesti malu di dunia ini. Malu melakukan kemungkaran ataupun perkara keji sekali pun di tempat yang sunyi. Sekiranya manusia tidak mahu menyaksiakan rahsia keburukannya itu, mereka perlu sedar bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa-apa yang tersembunyi.

July 16, 2008

Longkang Punca Banjir Siap Diubahsuai - Tahniah Kepada Semua Yang Terlibat

Ampang Campuran,
16 Julai 2008, Rabu - Alhamdulillah, akhirnya salah satu punca banjir utama di Ampang Campuran siap dibaiki dan diubahsuai. Punca tersebut adalah longkang besar di Jalan 1/1 di mana sebelum ini longkang tersebut terdiri daripada dua palong sederhana besar melintasi bawah jalan tersebut.


Keadaan longkang biasanya bertambah buruk lagi setiap kali hujan lebat dengan terdapat timbunan sampah sarap seperti kayu, dahan-dahan pokok, pelepah kelapa dan sebagainya yang dihanyutkan air yang akan menyekat laluan air di palong tersebut. Keadaan banjir setiap kali hujan lebat ini telah berlarutan hampir sepuluh tahun.


Namun, hasil usaha berterusan Pejabat Adun Lembah Jaya yang diwakili oleh Puan Hjh Rohainah Hj Hasan bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), keputusan mengubahsuai longkang berkenaan dari dua palong kepada satu palong empat segi dibuat. Orang ramai yang ditemui berharap agar usaha berkenaan membuahkan hasil. Tahniah kepada yang berusaha, semoga usaha kalian menjadi contoh yang diikuti. - AQ

July 15, 2008

Motivasi Remaja - Ke Arah Kecemerlangan Remaja Dunia & Akhirat


15 Julai 2008, Selasa
Taman Mulia Jaya - Pada hari ahad, 13 Julai 2008 yang lalu, bertempat di Surau Al-Asyraf satu program Motivasi Remaja diadakan anjuran bersama Surau Al-Asyraf, Belia Islam Ampang (BISA) dan Komuniti DUN Lembah Jaya. Antara tujuan program ini diadakan adalah untuk membentuk generasi rabbani yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Program ini dirasmikan oleh Adun Lembah Jaya, YB Khasim Abdul Aziz. Dalam ucapannya beliau mensarankan agar institusi masjid dan surau dijadikan sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan perlu dihidupkan sebagai pusat tarbiyah yang aktif.

Penceramah yang menyumbang tenaga dan kepakaran mereka pada program tersebut ialah al-Fadhil Ustaz Fazlul Rahimi Maarop merupakan salah seorang Ahli Majlis MPAJ yang baru. Manakala penceramah yang kedua ialah seorang Perunding Motivasi iaitu Ustaz Ridzuan Rahmat. Program yang disertai oleh kira-kira 95 orang pelajar berusia antara tujuh hingga tujuh belas tahun itu berakhir dengan penyampaian sijil penyertaan yang disampaikan oleh pegerusi BISA, Ustaz Ibrahim Yusoff sejurus sebelum azan Zohor dilaungkan. Hadir sama meraikan program tersebut pengerusi surau, Saudara Ghazali Aman. - AQ

July 14, 2008

Selamat Datang - AJK DPP Kawasan Ampang, Selangor

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد اشرف المرسلين
وعلى أله وصحبه أجمعين.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selamat datang ke laman blog Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang, Selangor. Laman blog ini memaparkan pelbagai aktiviti Dewan Pemuda PAS Ampang. Paparan yang akan dipaparkan kelak bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk demi kemegahan. Tapi sebagai motivasi agar perkara yang baik sewajarnya dimasyarakatkan dan diikut oleh yang lain. Juga sebagai satu hebahan bahawa kami Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang ada menyediakan khidmat-khidmat tertentu yang yang diperlukan oleh masyarakat.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang sesi 2007 - 2009 ini terdiri dari 20 orang pemuda Islam di mana masing-masing mempunyai jawatan tersendiri bermula dari Ketua Pemuda, Timbalan Ketua Pemuda, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan 14 orang Ahli Jawatankuasa Kerja. Hubungilah kami untuk menghulurkan bantuan sama ada berbentuk tenaga, kewangan, ide dan sebagainya. Perinciannya senarai Ahli Jawatankuasa Kerja dewan ini adalah seperti berikut :-