July 21, 2008

YB Meraikan Sukaneka PASTI ILMI Taman Dagang Jaya


Padang Dewan MPAJ, 19hb Julai 2008 - Sempena Temasya Sukaneka PASTI Ilmi Taman Dagang Jaya yang diadakan di sini, YB Khasim Abdul Aziz telah sudi hadir untuk merasmikan program ini. Temasya kali ini telah dihadiri oleh lebih kurang 500 orang para ibu bapa anak-anak yang belajar di PASTI Ilmi Taman Dagang Jaya, Ampang.

Dalam ucapan perasmian, ADUN Lembah Jaya telah menyatakan bahawa pentingnya ibubapa memastikan anak-anak mendapat asas pengetahuan Islam di pusat-pusat asuhan yang dapat mencorak pemikiran mereka supaya menjadi lebih peka dengan kewajipan sebagai Muslim yang baik.

Saudara Khasim juga menjelaskan bahawa beliau menerima banyak permohonan dari sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjayakan program di sekolah tetapi agak kesal dengan tindakan kementerian yang melarang semua wakil rakyat dari Pakatan Rakyat memasuki premis sekolah untuk merasmikan program-program di sekolah. Sungguhpun demikian, ini tidak sama sekali menghalang beliau untuk menghulurkan bantuan sekiranya dirasakan perlu.

Selepas upacara perasmian, Saudara Khasim turut bersama ibu bapa bersenam robik selama kira-kira 10 minit di padang tersebut dengan diketuai oleh Tuan Haji Ramli Said. Sesungguhnya, kehadiran YB Khasim Abdul Aziz pada pagi tersebut bersama ibu bapa dan anak-anak PASTI Ilmi Taman Dagang Jaya memberi gambaran tentang keperihatinan wakil rakyat Pakatan Rakyat terhadap generasi muda hari ini yang akan mewarisi kepimpinan masyarakat di masa akan datang.