January 24, 2014

PEMUDA PAS SELANGOR LANCAR PERIT DI SHAH ALAM

KUALA LUMPUR: Lanjutan daripada flashmob kempen kesedaran kepada masyarakat terhadap kenaikan kos sara hidup di Plaza Tol Sungai Rasa 31 Disember 2013, Pemuda PAS Selangor akan meluaskan sebaran umum kepada penduduk negeri itu khususnya dan Malaysia seluruhnya mengenai kenaikan itu dengan menubuhkan Gerakan Perit.

Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mohamad Rosharizan Mohamad Rozlan berkata, Perit adalah sebuah gerakan menyeluruh yang akan meliputi kempen-kempen kesedaran mengenai kenaikan kos sara hidup secara berfasa.

Menurutnya, matlamat utama Perit ditubuhkan adalah untuk menyedarkan pihak-pihak bertanggungjawab agar tidak cuai dengan amanah mereka dan menyebar luaskan maklumat-maklumat penting kepada masyarakat supaya jelas dengan hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, pelancaran Gerakan Perit akan dibuat secara rasmi oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim di Plaza Tol Batu 3 (Lebuhraya Persekutuan), Shah Alam, esok.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua agar menjadikan Gerakan Perit itu menjadi satu kempen yang mempunyai satu jenama yang tersendiri dalam menyantuni masyarakat.

“Fokus kita adalah untuk mendidik masyarakat dan menyedarkan pihak bertanggungjawab supaya lebih cakna dalam urusan yang melibatkan amanah yang besar,” ujarnya.

Gerakan itu, ujarnya melangkaui sempadan politik kepartian dan diharapkan agar masyarakat dapat memberi sokongan penuh dalam merealisasikan matlamat murni Perit.