July 27, 2008

TAZKIRAH : Hak Ibubapa - Tuntutan dan Tanggungjawab Anak-anak

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam dunia moden yang penuh dengan kesibukan ini, ada insan yang seringkali lupa untuk melaksanakan hak-hak ibubapa mereka. Malah disebabkan kepentingan diri, ada yang sanggup mengabai dan membiarkan ibubapa mereka hidup bersendirian tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kesilapan ini perlu segera diperbetulkan selaras dengan tuntutan Islam terutama mereka yang berada di dalam gerakan Islam.

Hak ibubapa telah dijelaskan Allah Ta'ala, firmanNya yang bermaksud :

"Dan hendaklah kamu meyembah Allah dan jangan kamu menyekutukanNya dengan sesuatu dan hendaklah kamu berbuat baik kepada dua ibubapa". (An-Nisa' - 4:36)

"Dan Tuhanmu telah memerintah supaya jangan kamu sembah melainkan kepadaNya dan hendaklah berbuat baik kepada dua ibubapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya telah meningkat tua maka janganlah engkau berkata kepada mereka : "uf" dan jagan mengherdik kedua mereka, dan hendaklah berkata kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua kerana sayang dan katakan : "Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara akan daku waktu kecil". (Al-Isra' - 17:23-24).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :

"Berbuat baiklah terhadap ibubapa kamu, nanti anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu".

"Syurga itu di bawah telapak kaki ibu".

Jelaslah di sini bahawa setiap orang hendaklah mengetahui akan hak-hak ibubapa dan hendaklah berbuat baik kepada kedua-duanya dan jangan sekali-kali membantah atau menentang percakapan mereka mereka. Allah SWT telah mewajibkan kita mematuhi perintah mereka yang tidak bersalahan dengan syarak.

Wahai sahabat-sahabat sekalian. Ayat di atas sudah cukup dijadikan sebagai dalil yang menunjukkan kemuliaan ibubapa dan betapa besarnya hak kedua mereka yang wajib dilaksanakan oleh anak-anak terhadap kedua-dua mereka.

Sabda Rasululllah S.A.W. yang bermaksud :

"Keredhaan Allah terletak pada ibubapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan dua ibubapa".

Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud :

"Sesiapa yang menjai keredhaanKu, sedangkan menjadi kemarahan bagi ibubapaya, maka Aku murka terhadapnya. Sesuiapaa yang menjadi kemurkaanKu, tetapi menjadi keredhaan ibubapanya, maka Aku redha kepadanya".

Adakah kita suka mendapat kemurkaan Allah dan tidak dilayan baik oleh anak-anak kita? Kalau begitulah yang akan kita perolehi, tentulah kita tidak suka yang demikian itu.

Sebagaimana seseorang itu wajib berbuat baik kepada kedua ibubapa semasa mereka hidup, begitu juga ia mesti berbuat baik selepas mereka meninggal dunia iaitu dengan cara :
  • Berdoa dan memohon istighfar untuk mereka berdua
  • Membayar hutang piutang mereka
  • Menunaikan wasiat mereka
  • Mengunjungi keluarga dan kaum kerabat mereka
  • Berbuat baik kepada kawan-kawan mereka dan orang-orang yang mereka kasihi
Janganlah lalai melakukan kebajikan yang tersebut itu terutamanya hak kedua ibubapa, hak kaum kerabat serta orang-orang yang berhak dan kaum muslimin umumnya. Dan jangan sesekali terperangkap kepada godaan syaitan sehingga ada yang sanggup menyalahi ibubapa. Ini kerana menderhaka kepada dua ibubapa termasuk dosa besar. Bukankan sahabat-sahabat pernah mendengar sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

"Sebesar-besar dosa itu tiga perkara :
  1. Menyekutukan Allah
  2. Menderhaka dua ibubapa
  3. Kesaksian palsu"
Dalam hadith yang lain Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya :

"Tiga golonga Allah mengharamkan syurga ke atas mereka :
  1. Kaki arak
  2. Orang yang menderhaka kepada dua ibubapa
  3. Orang dayus yang membenarkan kejahatan di dalam keluarganya."
KITA memohon perlindugan Allah daripada kemurkaanNya. Kita juga memohon taufiq moga-moga mendapat kerehaanNya. Amin! - aq