July 18, 2008

Tazkirah - Sanggup Terjun Ke Dalam Neraka

"Ada di kalangan manusia yang memohon kepada Allah supaya segala rahsia keburukan diri mereka tidak didedahkan di khalayak ramai"

ADI BIN HATIM R.A meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah S.A.W. Katanya baginda bersabda yang bermaksud :

"Tidak ada seorang pun antara manusia di akhirat kelak kecuali dia akan berhadapan dengan Allah S.W.T. Antara manusia dan Tuhan tidak ada jurubahasa (tidak ada pegawai protokol)".

H.R Muslim

Pertemuan dengan Allah S.W.T. di akhirat kelak adalah suatu yang pasti, meskipun pertemuan itu dengan berebagai-bagai cara. Mukmin yang soleh bukan sekadar bertemu dengan Allah S.W.T., malah dapat menatap wajah Tuhan yang Maha Agung, setelah mereka dapat melakukan sujud di hadapan Allah di akhirat kelak.

Golongan mukmin yang 'ashi tetap bertemu Allah S.W.T., namun mereka tidak dapat menatap wajah Tuhan yang Maha Agung itu. Sekiranya golongan mukmin yang 'ashi ini tidak dapat menatap wajah Tuhan, maka lebih-lebih lagi golongan yang kufur tetrhadap Allah S.W.T.

Walau bagaimanapun mereka pasti bertemu Allah S.W.T., malah pertemuan itu tanpa jurubahasa ataupun perantara. Yang dikatakan mereka bertemu dengan Allah itu ialah mereka pasti berhadapan dengan mahkamah Allah S.W.T. Di mahkamah Qadhi Rabbul Jalil itu tidak memerlukan bantuan malaikat bagi menjalankan tugas pendakwaan, serta tidak memerlukan jurubahasa bagi menterjemahkan segala perbuatan keji dan kemungkaran yang manusia lakukan.

Segala urusan sejak daripada pendedahan segala rahsia perbuatan jahat dan keji mereka, sehingga penyerahan segala catatan akan dilakukan olej Allah S.W.T. sendiri. Rasulullah S.A.W. menjelaskan dalam hadisnya bahawa setiap hamba pasti berdepan dengan Allah S.W.T. di akhirat kelak tanpa sebarang jurubahasa.

Dalam hadis yang lain Rasulullah S.A.W. menjelaskan mengenai hari pendedahan yang akan dilakukan oleh Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya di akhirat kelak, sehingga ada di kalangan manusia yang memohon kepada Allah supaya segala rahsia keburukan diri mereka tidak didedahkan di khalayak ramai dan juga tidak didedahkan di hadapan Allah. Mereka juga tidak sanggup menanggung malu yang amat sangat.

Sesetengah mereka menganggap lebih baik mereka dicampakkan terus ke dalam neraka, asalkan tidak didedahkan segala perbuatan mereka yang keji dan hodoh. Rasa malu yang tidak tertanggung bakal rasai apabila keaiban dirinya menjadi tontonan orang ramai yang berada di padang Mahsyar itu.

Malu bagi sesetengah manusia adalah suatu perkara yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Sebab itu ada manusia yang disebabkan merasa maalu kerana keburukannya terbongkar, mereka sanggup lari malam meninggalkan kampung halaman secara senyap-senyap. Yang lebih dahsyat lagi ada yang sanggup membunuh diri semata-mata kerana tidak sanggup menanggung malu.

Begitu juga halnya yang terjadi di padang Mahsyar. Akan ada manusia yang bersedia terjun terus ke kawah neraka daripada dimalukan di khalayak ramai. Bukan bererti bahawa pilihannya supaya dia dicampakkan terus ke dalam neraka itu lebih baik daripada peristiwa yang memalukan itu, namun demikianlah keadaan gawat yang berlaku di padang Mahsyar apabila Allah S.W.T. melaksanakan sesi Yaumul 'Ardh.

Itulah suatu peringatan bagi manusia yang tidak sanggup menanggung malu di padang MAhsyar, sebaik-baiknya mereka mesti malu di dunia ini. Malu melakukan kemungkaran ataupun perkara keji sekali pun di tempat yang sunyi. Sekiranya manusia tidak mahu menyaksiakan rahsia keburukannya itu, mereka perlu sedar bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa-apa yang tersembunyi.