November 15, 2011

Pelepasan Yang Menyuntik Semangat Perjuangan

 
14 November 2011, Pandan Indah - Seramai 7 orang pemuda dari Dewan Pemuda PAS Ampang (DPPA) telah dilepaskan dari pertuduhan perhimpunan haram & konvoi haram yang dikenakan ke atas mereka selepas ditahan di perkarangan Masjid Taman Kosas Fasa 2 Julai lalu.
Perlepasan ini anataranya adalah hasil hujah bernas para peguam yang mewakili tertuduh sepanjang tempoh perbicaraan. Salah seorang yang peguam yang berjasa tersebut ialah Saudara Fazarudin Sujari Md Radzi. Dalam sidang media yang diadakan diluar Mahkamah Sesyen Ampang semalam beliau menyatakan pihak pendakwa tidak berjaya mendatangkan hujah yang munasabah untuk mensabitkan kesalahan ke atas yang tertuduh. Menurut beliau lagi, sekiranya pertuduhan diteruskan, ianya adalah bertentangan dengan dasar kerajaan untuk memperjuangkan hak asasi manusia dan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Namun perbicaraan demi perbicaraan terus diadakan sehingga hari ini semata-mata untuk menakut dan menyusahkan rakyat sahaja. Justeru, beliau berharap agar segenap lapisan masyarakat yang inginkan keadilan ditegakkan di negara ini terutama para pemuda dan pejuang keadilan agar tidak gentar dengan ugutan dan provokasi dari pihak Umno dan Barisan Nasional.

Ketua Penerangan DPPA Aouis Mohamed sedang menemuramah Saudara Fazarudin

 Ketua DPPA, Ustaz Fazlulrahimi Maarop bagi pihak tertuduh (OKT) amat bersyukur dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan memberikan kata-kata semangat terutama para peguam yang telah bertungkus lumus dalam membela mereka sepanjang perbicaraan. 7 orang OKT tersebut adalah Ustaz Fazlulrahimi, Shahril, Engku Faizan, Fathullah, Rozaimi, Shafi'e dan Adha. Turut dilepaskan bersama mereka ialah AJK JKP MPAJ Saudara Shah Jahan yang dibicarakan atas dakwaan memakai baju bersih.


November 6, 2011

Ceramah Umum "Isu Hudud" Di Dewan Orang Ramai Taman Ampang Indah - Semua Dijemput Hadir




Menjelaskan kekeliruan berkenaan HUDUD oleh kebanyakan anggota masyarakat termasuk mereka yang mengaku sebagai Muslim.
Dengan kehadiran penceramah yang tidak asing lagi Ybhg Dato' Tuan Ibrahim Bin Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat dijangka segala kekeliruan dan kekusutan dapat dirungkai, insyaAllah.
"Seiapa yang dikehendaki oleh Allah atasnya kebaikan, nescaya dia akan dijadikan oleh Allah orang yang faham akan agamanya"
~ mafhum Hadis riwayat Ibnu Majah

November 3, 2011

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR - JAIS PERLU RAIKAN ARTIS YANG TELAH ‘BERHIJRAH’

JAIS PERLU RAIKAN ARTIS YANG TELAH ‘BERHIJRAH’

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengalu-alukan dan menyambut baik ‘penghijrahan’ beberapa orang artis yang kini berkecimpung di dalam bidang dakwah seperti Ustaz Akhil Hayy, Wardina, Sham Kamikaze, Radhi Melissa, HJ Azmil ‘Ali Setan’ Mustapha, Iwan Dangdut dan ramai lagi selain Bob Lokman. Kehadiran artis-artis ini telah mencetuskan revolusi dakwah baru yang telah menarik minat anak-anak muda remaja untuk kembali memahami dan mengamalkan ajaran agama Islam secara menyeluruh.

Sehingga kini sambutan masyarakat terhadap program-program yang membabitkan para artis-artis yang telah ‘berhijrah’ ini mendapat sambutan yang cukup hebat. Selain peminat-peminat ‘tegar’ artis-artis terbabit, rakyat Malaysia secara keseluruhannya telah dapat menerima penglibatan artis-artis ini di dalam bidang dakwah dan berkongsi pengalaman mereka menerima ‘hidayah’ petunjuk daripada Allah SWT. Janganlah disebabkan perkara yang terlalu remeh menyebabkan pihak JAIS hilang pertimbangan sehingga mengambil tindakan yang tidak wajar di dalam menghentikan revolusi dakwah baru ini.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mencadangkan pihak JAIS sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih mesra terhadap para artis yang telah ‘berhijrah’ ini dan menjadikan mereka sebagai ‘ikon’ dakwah JAIS kepada masyarakat. JAIS perlu menyediakan kursus-kursus dan garis panduan dakwah kepada para artis selain mengatur seliakan program-program dakwah yang perlu diisi oleh para artis tersebut untuk menarik minat masyarakat kembali kepada pengamalan Agama Islam yang sebenar.

Akhirnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kebimbangan dengan tindakan ‘menghukum’ yang akan di ambil oleh pihak JAIS ke atas Bob Lokman dan rakan-rakan artis seangkatannya akan ‘menghanyutkan’ semula anak muda yang kini dilihat semakin jinak dengan agama selain akan meninggalkan persepsi negatif masyarakat yang melihat JAIS sebagai agensi yang tidak mesra dakwah dan anti artis hijrah.



USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR