September 28, 2011

KENYATAAN AKHBAR JABATAN PILIHANRAYA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA - PENIPUAN SEMAKIN TERBONGKAR

KENYATAAN AKHBAR JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

PENIPUAN SEMAKIN TERBONGKAR

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berasa cukup positif dan gembira dengan pembongkaran isu-isu yang telah dibuat mutakhir ini oleh orang perseorangan ataupun badan-badan NGO yang membabitkan penipuan, penyelewengan dan salah guna kuasa oleh penjawat awam dan agensi jabatan kerajaan di dalam memastikan penerusan kuasa UMNO dan Barisan Nasional di dalam pilihanraya lalu. Baru-baru ini melalui laman sesawang Malaysiakini telah didedahkan bahawa seorang pemastautin tetap yang memohon untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan negara ini telah ‘dinasihatkan’ oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara supaya ‘membalas budi’ dan menjadi tugas utama beliau sekiranya diberikan kerakyatan untuk mengundi parti pemerintah iaitu UMNO/BN.

Begitu juga dari petikan Wikileaks (kabel diplomatik Amerika yang bocor), pendedahan Pengerusi Mafrel (NGO Pemantau Pilihanraya), Malek Husin, terhadap pengakuan yang telah dibuat oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengakui UMNO telah melaksanakan ‘kempen kotor’ untuk merampas Sabah daripada PBS waktu itu dengan memberikan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan Malaysia kepada lebih 600,000 pekerja asing (kebanyakan dari Indonesia dan Mindanao, Filipina) untuk menjadi pengundi berdaftar di Sabah. Bahkan Tan Sri Rashid mengakui secara peribadi telah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu khusus untuk membantu UMNO di Sabah. Ianya juga dikenali sebagai ‘Projek IC’ yang turut membabitkan Perdana Menteri Malaysia waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menurut laporan tersebut.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan pendedahan sebegini telah jelas mengesahkan dan membenarkan dakwaan pihak Pakatan Rakyat terhadap penipuan dan penyelewengan kuasa yang telah dilakukan oleh UMNO/BN selaku pihak kerajaan untuk meneruskan kekuasaan mereka memerintah negara ini secara ‘kotor dan haram’. Sepatutnya pihak UMNO/BN selaku Kerajaan yang memerintah negara ini berasa malu dan insaf terhadap tindakan mereka membelakangkan undang-undang negara dan mengkhianati amanah rakyat.

Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa supaya siasatan segera dilakukan terhadap pendedahan yang telah dibuat oleh sebuah jawatankuasa yang bebas dan telus serta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku-pelaku yang telah menyalahguna kuasa hatta mantan perdana menteri sekalipun. Sesungguhnya mereka yang telah terlibat di dalam sebarang penyalahgunaan kuasa ini adalah merupakan PENGKHIANAT AGAMA, BANGSA DAN NEGARA. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru dan mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk tampil membuat pendedahan sekiranya ada terhadap penyelewengan dan penipuan sistem pilihanraya di dalam negara ini.

MOHD SANY BIN HAMZAN    
PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

21 September 2011