November 11, 2013

YA RASULULLAH. MENGAPA ENGKAU TIDAK PILIH SAYA?

Tuan Ibrahim Tuan Man,08 Nov 2013

Wahai anakku,
Pernah satu ketika Abu Zhar meminta jawatan daripada Rasulullah dan Rasulullah tidak mengendahkannya.

“Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya?" tanya Abu Zhar.

"Hai Abu Zhar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya,” begitulah jawapan Rasulullah pada Abu Zhar.

Wahai anakku,
Hadis ini memperingatkan kita yang bergelar manusia bahawa amanah menuntut dan menghendaki kita memilih orang-orang yang lebih baik untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan.

Jika kita cenderung memilih yang lain secara tidak berhati-hati, kerana mengamalkan sikap pilih kasih, bermakna kita telah melakukan pengkhianatan yang berat, kerana menyingkirkan orang yang ahli (mampu) dan mengangkat orang yang bukan ahli.



Wahai anak kesayanganku, begitu juga di dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta, di mana kuasa dan tanggungjawab adalah luas dan besar. Kamu harus beringat semua ini tidak mungkin dipikul oleh seorang.

Kerana itu kuasa dan tanggungjawab perlu diagih-agihkan dan dibahagi-bahagikan. Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dijalankan.

Untuk menjadikan kuasa berkesan dan tanggungjawab disempurnakan, kedua-duanya hendaklah dibahagikan atau diamanahkan kepada mereka yang layak dan beramanah. Apabila kuasa menjadi luas dan tanggungjawab menjadi lebih besar, pembahagian kuasa tidak dapat dielakkan untuk melahirkan perkhidmatan yang berkesan, beramanah dan bertanggungjawab.

Oleh itu, wahai anakku, sesuatu jawatan dan tugas itu diberikan hanya kepada orang yang layak dan berkebolehan menerimanya sahaja bersandarkan nilai-nilai Islam.

Lantaran itu, pemilihan seseorang untuk diberikan tanggungjawab bagi memenuhi tuntutan amanah Allah S.W.T. dan rakyat yang memilih sesuatu golongan untuk berkuasa, hendaklah dibuat berasaskan kelayakan dan kebolehan iaitu dengan memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketaqwaan.