March 24, 2010

Berkhidmat Dengan Jamaah Islam: Letakkan Allah Di Depan, RM Nombor Dua - Ketua MGP Ampang

Puan Noriza sedang menyampaikan ucapan

Ijtimak PASTI Ampang yang di adakan di Bilik Perpustakaan Sekolah ILMI pada Ahad 21 Mac 2010 yang lalu cukup bermanfaat dan disifatkan berjaya walaupun kehadiran guru-guru adalah sekitar 50 peratus sahaja. Program tersebut bermula jam 9:30 pagi.

Sebahagian guru dan pengurus PASTI yang hadir

Antara yang hadir ialah pengurus-pengurus PASTI setiap Cawangan, guru-guru dan sebahagian Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang. Ketua Majis Guru PASTI (MGP) Ampang, Puan Noriza Abu Bakar turut hadir dan memberikan ucapan. Dalam ucapannya beliau menyeru guru-guru PASTI agar sentiasa ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, baru datangnya kepuasan walaupun ganjarannya tidak seberapa. "Kita mestilah berkhidmat kerana Allah, utamakan Allah, kalau kita tolong Allah nescaya Allah akan tolong kita, RM nombor dua.." katanya sebelum beliau mengakhiri ucapannya.

Semoga semua amanat yang disampaikan dapat diambil manfaatnya terutama oleh para guru PASTI kerana mereka agen terpenting dalam pendidikan asas generasi pejuang Islam masa hadapan.