May 28, 2009

Bangunan Jaya Supermarket Runtuh, Seorang Maut - Bernama

PETALING JAYA, 28 Mei (Bernama) -- Bangunan yang pernah menempatkan pasar raya Jaya Supermarket di Seksyen 14 di sini runtuh Khamis petang hingga mengorbankan seorang daripada sembilan pekerja yang terperangkap ketika melakukan kerja-kerja merobohkan bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamad berkata kesemua sembilan mangsa yang terperangkap dalam insiden kira-kira 5.02 petang itu adalah warga Indonesia dan mereka gagal keluar dari tapak projek kerana berada di tingkat bawah bangunan empat tingkat itu ketika runtuhan berlaku.

Sehingga pukul 7 malam, katanya, tiga mangsa telah dikeluarkan dari runtuhan itu di mana seorang terkorban akibat terperangkap dalam timbunan runtuhan manakala dua lagi telah dibawa Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.

Enam lagi mangsa masih terperangkap, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan. Unit pengesan anjing sedang digunakan untuk mengesan kedudukan mangsa-mangsa," katanya.