Ketika kami hampir ke kawasan kolam air panas Dusun Tua, kami dapati kesan banjir masih lagi jelas di dinding-dinding rumah sekitar tepi jalan raya utama. Kesan menunjukkan air naik sehingga lima kaki. Itu kawasan tepi jalan, macam manalah agaknya rumah yang lebih jauh di bawah. Mungkin paras bumbung agaknya.
Sampai sahaja kami di Dusun Dua Batu 17, kelihatan beberapa penduduk kampung sedang memerhati jambatan gantung di kampung mereka runtuh akibat dipukul arus sungai yang deras. Keadaan ini diburukkan lagi dengan putusnya bekalan air yang disambungkan ke kampung mereka melalui jambatan tersebut. Roboh jambatan bermakna bekalan air mereka juga terputus. Inilah kesukaran yang dihadapi oleh Saudara Salehuddin Mohd Rusli dan penduduk yang lain dalam menghadapi ujian banjir kali kedua dalam masa dua tahun ini. Unit Amal Ampang diwakili oleh Penyelarasnya, Saudara Mohd Shahril Mohd Shuhaimi, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Ampang, Aouis Qarney Mohamed, Hamdi dan Hafiz.
Menurut Salehuddin, air sedalam hampir tiga kaki mengarus deras melalui dalam rumahnya dan rumah-rumah lain sekitarnya dengan membawa lumpur yang tebal mengakibatkan banyak kerosakan berlaku terutamanya perabot, buku-buku dan dokumen-dokumen penting.
Hulurkanlah sedikit bantuan dalam apa jua bentuk sama ada kewangan, tenaga atau apa sahaja di dalam membantu saudara kita yang dalam kesusahan. Semoga Allah memberikan bantuan dan mempermudahkan kita di kala kita pula yang diuji, insyaAllah. ~ AQ