February 5, 2009

BUBAR DUN PERAK LANGKAH TERBAIK - HARAKAH

NAMPAKNYA berjayalah akhbar membantu Dato' Seri Najib Razak sehari dua ini. Pagi ini banyak orang mengelek akhbar. Di mana-mana sahaja orang mencari akhbar, tak kiralah berbahasa Melayu, Cina, India atau Inggeris.

Di tepi jalan, dekat pasar dan di gerai akhbar semua orang membelek surat berita. Mengapa mereka berlakuan aneh seperti itu.
Pertamanya sayang kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, kedua melihat kelibat sebenar Najib, belum berkuasa penuh sudah melatah dan ketiga menteri yang menjaga agama berkelakuan tidak sepadan dengan jawatan.
Selain itu memperlihatkan kerajaan Pakatan Rakyat di bawah Dato' Seri Nizar Jamaluddin mampu atau tidak diuji. Tidak mudah untuk menjadi dewasa politik seperti di Kelantan.
Fenomena tersebut sebenarnya sudah ditempohi di Kelantan selama empat tahun. Debar yang cukup panjang, sehinggga Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik keluar masuk hospital.
Bukan sekadar mendapat rawatan, sebaliknya terpaksa berehat dengan tugasan yang paling mencabar.
Kelantan ketika itu hanya dibezakan dengan satu kerusi. Dan kerusi itu pun dengan sekadar dua undi. Berbanding dengan apa yang berlaku di Perak sekarang sebenarnya jauh lebih selesa.
Perbezaan tiga kerusi, dikira sudah cukup selesa untuk meneruskan pentadbiran kerajaan.
Adun PAS di Kelantan pernah ditawar duit berguni
Sedangkan Kelantan sebelum Mac 2008 hanya berkuasa di atas dua undi dengan satu kerusi.
Biar pun Kelantan ketika itu dikata orang berada di hujung tanduk, namun jatidiri yang ada pada setiap 23 Adun tidak mampu digugatkan dengan sekarung duit.
Bekas Adun Kemuning, Haji Zakaria Yaakub mendedahkan pernah didatangi seseorang pada waktu Subuh dengan tawaran duit berguni.
Tawaran demi tawaran cuba mendatangi ramai Adun PAS sepanjang empat tahun itu. Cuba anda bayangkan dalam tempoh lebih 48 bulan Adun PAS di Kelantan cuba dikelabui dengan umpan kebendaan.
Sedangkan di Perak hanya 11 bulan, ada wakil rakyat Pakatan Rakyat sudah kelabu mata.
Inilah pentingnya dinamakan orang jati diri. Dalam Islam disebut sebagai aqidah.
Meneliti isu sekarang ramai sarjana mencadangkan langkah terbaik membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).
Pensyarah Kanan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, krisis politik di Perak tercetus hasil keputusan pilihan raya umum ke-12, yang meletakkan Pakatan Rakyat memerintah dengan majoriti tiga kerusi.
Membentuk kerajaan negeri yang sangat lemah, meski tenang dan berkebolehan.
"Tiba-tiba bangkit krisis tercetus apabila dua Adun iaitu Jamaluddin Mohd Razi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) ditangkap atas tuduhan korupsi berbilang-bilang dan seksual," katanya di hubungi di sini.
Sejak itu bertebar perbalahan dan persengketaan secara tiba-tiba, sekali lagi memunahkan aspirasi rakyat Perak untuk mendiam negeri yang aman dan tenang.
Keadaan tambah gawat lagi apabila Nasaruddin Hashim (BN-Bota) pula mencabut kesetiaan daripada Umno seketika untuk bersama-sama Pakatan Rakyat.
Kemudian tambah kusut lagi kehilangan Adun DAP, Hee Yit Fong yang juga Timbalan Speaker.
"Akhirnya berlakulah perbalahan internal bila mana Speaker DUN Perak mengumumkan kedua-dua Adun telah meletakkan jawatan dan mengisytiharkan kerusi tersebut kosong.
"Kemudian Adun terbabit pula menafikan mereka meletak jawatan sebaliknya sekadar keluar dari KeADIlan. Disambut pula seorang Adun DAP dengan tindakan yang sama.
"Manakala Adun BN yang baru menyertai KeADIlan meski pun baru seminggu menyebut dia tidak akan kembali ke pangkuan Umno melukakan semula perasaan rakyat Perak," ujar Dr Abu Hassan.
Di tengah-tengah gembiranya Najib, jangan lupa peristiwa Mac 2008. Sultan Terengganu dan Raja Perlis sudah mempamerkan kuasa mereka. Bukan lagi mengikut rentak orang politik.
Tidakkah Sultan Perak bekas Ketua Hakim Negara. Dan tentunya masalah yang berlaku di saat ini baginda sangat arif mengenainya. - ss -