August 5, 2008

Pemuda disaran pergiat usaha bantu warga emas

Taman Dagang Jaya, 5 Ogos 2008 (3 Sya'ban 1429H) - Dalam satu tinjauan di Dewan Ar-Ridhuan, Taman Dagang Jaya yang juga merupakan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lembah Jaya, Dewan Pemuda mendapati sambutan masyarakat terhadap skim Caruman Takaful Warga Emas yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), amat menggalakkan.

Sungguhpun begitu, peratusan yang hadir di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lembah Jaya itu adalah masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan di luar sana terutamanya mereka yang hidup sebatang kara. Ini terbukti apabila diajukan pertanyaan kepada kebanyakan warga emas di sebuah kampung berkenaan dengan skim tersebut, masing-masing menyatakan bahawa mereka tidak mengetahuinya.

Oleh yang demikian, Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang menyarankan agar para pemuda mempergiatkan lagi usaha dalam membantu warga-warga emas ini kerana mereka amat memerlukan khidmat kita. Kita boleh membantu mereka dengan menghulurkan borang ini kepada mereka atau waris-waris mereka di samping sedikit penerangan mengenainya.

Bukan sahaja perkhidmatan memperkenalkan skim ini, malah banyak lagi khidmat yang boleh diberikan tertamanya dalam menjaga kebajikan asas mereka seperti mengambil berat tentang kesihatan mereka dan sebagainya. Mudah-mudahan dengan khidmat yang sedikit ini akan menjadi sebab turunnya rahmat Allah ke atas kita, insyaAllah. - aq