January 5, 2011

"Serangan Ke Atas Gereja Coptic Orthodox Adalah Di Kutuk"

“Serangan ke atas Gereja Coptic Orthodox adalah di kutuk”

by YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang on Wednesday, 05 January 2011 at 09:27
 
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan ke atas gereja Coptic Orthodox di Iskandariah, Mesir beberapa hari lalu yang telah mengorbankan lebih dari 20 nyawa. Bagi pihak PAS, letupan bom yang dilakukan ke atas gereja tersebut sesuatu yang menyedihkan dan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Islam melarang umatnya melakukan serangan ke atas mana-mana rumah-rumah ibadah walaupun di waktu tercetusnya peperangan. Malah Allah SWT menegaskan di dalam Al-Quran supaya umat Islam tidak mencela berhala-berhala sembahan penganut agama lain.

Tambahan pula sebilangan besar golongan Kristian Coptic di Mesir ini sejak sekian lama bersama dengan komuniti antarbangsa dalam usaha membebaskan Palestin daripada penaklukan regim haram Israel. Maka mereka sepatutnya diraikan dengan baik sebagaimana diajar oleh Nabi Muhammad SAW.  Tindakan memusnahkan rumah ibadat sebegini adalah tindakan paling tidak bertamadun dan amat dikutuk oleh ajaran Islam. 

PAS mengharapkan insiden ini bukanlah satu sabotaj yang bertujuan untuk melaga-lagakan umat Islam dengan penganut Kristian. PAS juga berharap supaya penganut semua agama di Malaysia bersikap toleransi sesama mereka dengan meningkatkan kefahaman beragama sesama kita. Ia selaras dengan usaha untuk membangunkan negara yang harmoni yang diterima oleh semua.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
29 Muharam 1432 H /  4 Januari 2011