August 17, 2009

Usaha, Usaha Juga, Doa Jangan Lupa: Program Solat Hajat Dan Qiyamullail Untuk Pelajar Di Taman TAR

Menjelang beberapa bulan lagi semua pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan menghadapi peperiksaan akhir tahun yang sangat penting terutamanya bagi darjah 6 yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR dan PSRA bagi sekolah agama, tingkatan 3 (PMR) dan tingkatan 5 (SPM).

Sehubungan itu satu program solat hajat bagi memohon kepada Allah S.W.T. kejayaan bakal-bakal calon peperiksaan dan qiyamullail dianjurkan oleh Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 15 Ogos 2009, bermula selepas solat maghrib. Turut memberikan kata-kata peransang kepada para pelajar yang hadir ialah YB Khasim Abdul Aziz, ADUN Lembah Jaya. Beliau menegaskan betapa pentingnya bagi para pelajar bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dengan berasaskan taqwa di samping menghargai pengorbanan ibu bapa.

Turut menyampaikan ceramah yang cukup bermanfaat kepada para pelajar pada malam itu ialah Ustaz Fazlulrahimi Maarop, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang merangkap Ahli Majlis MPAJ. Beliau mengingatkan para pelajar agar sentiasa berdisiplin dalam kehidupan terutama ketika menuntut ilmu. Hormati ibu bapa dan para guru. Di samping berusaha, beliau juga mengingatkan para pelajar agar sentiasa berdoa dan bemunajat kepada Allah, memohon agar dikurniakan ilmu yang beranfaat di dunia dan akhirat.