April 14, 2009

3,500 DENGAR TIPS NUR MADHIAH BERJAYA DALAM SPM - Harakah

PENGKALAN CHEPA, 14 April (Hrkh)- Kesungguhan kerajaan negeri untuk melihat kejayaan pelajar di Sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan dalam pelajaran telah digalas oleh Urusetia Pembangunan Insan,Belia,Sukan dan NGO dengan menganjurkan seminar motivasi bijak belajar.
Demikian menurut Pengarahnya, Abd.Aziz Yunus ketika ditemui di Seminar Motivasi Bijak Belajar yang disampaikan oleh motivator terkenal, Dr.Shukri Abdullah di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan(PUTIK) di mana lebih 3500 pelajar dari 27 buah sekolah YIK hadir di seminar yang diadakan sehari tersebut.
Menurut Aziz,ianya bertujuan untuk memberi semangat kepada pelajar dalam menanam minat terhadap pembelajaran,mengambil contoh tauladan daripada mereka yang berjaya seperti Siti Nur Madhiah Nik Omar dan perancangan pembelajaran yang betul untuk menghadapi peperiksaan.
"Pihak kerajaan menyedari akan pentingnya menanam semangat pembelajaran kepada pelajar di peringkat awal tahun dan ini merupakan kali kelima pihak kerajaan menganjurkan dan diadakan secara percuma,"ujar beliau.
Seminar yang mendapat kerjasama dari YIK tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari seluruh negeri dan pelajar turut bersolat jemaah Zohor dan solat hajat yang diimamkan oleh Adun Demit, Ustaz Muhammad Mustafa.
Perasmian seminar tersebut telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia,Sukan dan NGO, Abdul Fatah Mahmood dan turut hadir Adun Gual Periok,Ustaz Muhammad Awang dan Nik Nur Mardhiah Nik Omar.
Nik Nur Mardhiah dalam ucapannya berkata, teknik pembelajaran yang diamalkan oleh beliau amat mudah iaitu merangkumkan hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia iaitu sentiasa menghormati orang tua,guru dan rakan-rakan.
Di samping itu, beliau juga berkata tumpuan semasa belajar dalam kelas dan sentiasa berhubung dengan guru dalam menyelesaikan pelbagai masalah pelajaran juga amat penting.
"Saya tidak pernah mengikuti kelas tuisyen di luar, namun semangat dan minat mestilah berada di hadapan kita dalam mengejar cita-cita dan ingatlah kejayaan kita tidak akan datang bergolek,melainkan kita berusaha dalam apa cara pun,"ujar beliau.
Sementara itu, Abdul Fatah ketika berucap merasmikan seminar pula berkata, kerajaan amat berbangga dengan lahirnya pelajar cemerlang seperti Nur Mardhiah dan berharap di tahun hadapan akan lahir pula dari pelajar yang mengikuti seminar pada hari ini.
"Marilah kita sama-sama berdoa agar akan lahir pelajar cemerlang di peringkat negara di tahun hadapan daripada negeri ini lagi dan saya yakin ianya akan datang daripada sebahagian dari peserta seminar ini,"katanya.
Abdul Fatah juga berkata kerajaan amat menyedari walaupun berlakunya kekurangan dari segi prasarana di sekolah-sekolah YIK, ianya bukan penghalang bagi pelajar untuk meneruskan pembelajaran dan ini terbukti dengan lahirnya pelajar cemerlang dari sekolah di bawah YIK pada tahun ini. - ss -