SEREMBAN, 25 Feb (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub melihat masih ada ruang dan peluang untuk memperbaiki serta meningkatkan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam objektifnya mencegah rasuah secara total.
Beliau yang baharu sahaja dilantik selaku anggota SPRM semalam menyatakan harapan itu kerana masih terlalu awal untuk beliau secara peribadi menghukum SPRM.
Salahuddin terdahulu menyertai majlis perasmian SPRM di Pusdat Dagangan Dunia Putra (P{WTC) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Mengulas lanjut, Sakahuddin berkata SPRM perlu menunjukkan wibawanya termasuk menyiasat semua laporan polis dan laporan kepada badan itu yang dibuat Pakatan Rakyat atau rakyat terhadap salah laku pemimpin Umno/BN.
Beliau merujuk kepada beberapa laporan rasuah membabitkan pemilihan Umno sebelum yang masih belum disiasat sepenuhnya atau dijalankan pendakwaan jika cukup bukti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lobi Parlimen semalam selepas mengadakan sidang media bersama Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berhubung isu cabaran debat PPSMI.
Salahuddin sendiri menyatakan visinya untuk memberikan komitmen yang tinggi kepada SPRM selaku wakil PAS yang dipilih menggangotai suruhanjaya tersebut.
"Terlalu awal untuk saya menghukum SPRM,apa yang penting saya mahu memberi komitmen yang tingggi kepada suruhanjaya tersebut.
"Saya ucapkan terima kasih atas lantikan ini yang akan berkuatkuasa selama tiga tahun, namun ini satu proses biasa," katanya.
Bakar dokuman tanda kecewa terhadap SPRM
Namun dalam perkembangan berkaitan, hari ini kumpulan anak muda yang akan dikepalai Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin akan berhimpun di hadapan SPRM.
Himpunan itu diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap sikap 'double standard' SPRM dalamn menjalankan siasatan ke atas beberapa laporan yang diserah Sekretariat Anak Muda Malaysia (SAMM) berhubung laporan rasuah membabitkan pemimpin Umno/Bn yang hingga kini tifdakl disiasat, kata Badrul Hisham.
Justeru bagi melahirkan rasa hampa dan kesal dengan kelemahan selain sikap 'double standard' SPRM itu, sekretariat anak muda akan membakar semua dokumen bukti rasuah yang pernah diserahkan kepada SPRM sebelum ini.
Upacara membakar dokumen itu bagi memberi 'signal' kepada SPRM bahawa anakmuda sudah hilang percaya kepada badan itu,katanya.
PM Rasmi SPRM di PWTC
Dalam majlis pelancaran SPRM Perdana Menteri berkata, tokoh-tokoh terkemuka negara yang menganggotai lima panel dalam SPRM perlu memastikan gejala rasuah diperangi dengan lebih efektif.
Berucap melancarkan SPRM di PWTC semalam, Perdana Menteri berkata, anggota panel itu dipilih berdasarkan sikap yang baik, integriti, kepakaran, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat.
"Saya percaya anggota panel ini mempunyai keupayaan untuk memastikan rasuah diperangi dengan lebih cekap bermula sekarang," katanya.
Abdullah berkata, kuasa yang diberikan kepada anggota panel itu mesti digunakan untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan dalam menghapuskan rasuah di mana sahaja.
Lima panel SPRM dianggotai oleh 42 tokoh itu ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berperanan menasihat SPRM mengenai dasar, strategi, meneliti dan memperakukan cadangan suruhanjaya ke arah meningkatkan kecekapan serta keberkesanan.
Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah pula dipilih di kalangan anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk menasihat Perdana Menteri dalam segala aspek rasuah.
Ia termasuk memberi ulasan dan mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan Suruhanjaya dan ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah.
Jawatankuasa Aduan pula bagi memantau pengendalian aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai SPRM.
Panel Penilaian Operasi bertanggungjawab mengkaji laporan SPRM berhubung kertas siasatan dan keputusan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Panel juga menasihat dan memperakukan langkah-langkah mempertingkatkan kualiti siasatan.
Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah pula bertanggungjawab menasihat SPRM dalam aktiviti pemeriksaan dan perundingan berhubung amalan, sistem atau tatacara kerja dalam sektor swasta dan awam mengenai pelaksanaan program pendidikan masyarakat serta memantau keberkesanannya. - ss -