January 19, 2009

RAKYAT MAKIN YAKIN MASA BN/UMNO SUDAH TAMAT - Hrkh

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Hrkh) - Kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu membuktika bahawa keyakinan rakyat bahawa masa Barisan Nasional (BN) sudah hampir tamat semakin menjadi keyakinan umum atau popular belief yang tidak boleh ditahan-tahan lagi, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

"Rakyat makin yakin masa BN sudah tamat. Dalam pilihan raya umum 1999 dahulu, slogan "dulu Umno, sekarang PAS" telah menjadi keyakinan umum.
"Bagaimanapun, pada masa itu, tidak ada tokoh atau pemimpin Umno yang turut sama meyakinkan perkara itu kepada rakyat. Hari ini, kita dapati seorang demi seorang tokoh atau pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang membantu membentuk keyakinan umum itu dengan kenyataan-kenyataan mereka," katanya.
Sebagai contoh, katanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah sering membuat kenyataan yang membangkitkan perkara itu.
"(Presiden Gerakan, Tan Sri) Dr Koh Tsu Koon pernah menyatakan Umno adalah parti yang angkuh," katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menyifatkan pilihan raya kecil Kuala Terenganu itu juga membuktikan penolakan terhadap BN semakin menjadi trend pemikiran rakyat.
"PR menang di lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, selepas itu menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan kini dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pula.
"Hattrick kemenangan pilihan raya kali ini bukan lagi satu perkara yang kebetulan berlaku atau semata-mata membayangkan kemungkinan penolakan total terhadap BN, ia sudah menjadi satu trend di kalangan rakyat," katanya.
Beliau menyokong kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyatakan kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR) telah mencipta perubahan besar.
Salahuddin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua pemimpin dan petugas parti-parti di dalam PR, bloggers yang diketuai Raja Petra Kamarudin dan semua pihak yang berkerja keras membantu PAS mencapai kemenangan selesa dalam pilihan raya kecil itu._