January 23, 2009

HALANG JALAN KE SEKOLAH KERANA KALAH PILIHANRAYA

ULU MELAKA, 22 Jan (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi (DPPPL) kesal dengan tindakan Ketua Umno Cawangan Padang Gaong, di sini yang didakwa mereka bertindak menutup sebahagian jalan ke Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) Langkawi sejurus selepas kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini.
Menurut Setiausaha DPPPL, Hakimi Nazeri, walaupun arwah ibu Ketua Umno tersebut pernah membuat surat kebenaran kepada Jawatankuasa Pembinaan SRIDU untuk menggunakan tanah berkenaan, tetapi beliau tetap bertindak angkuh menutup sebahagian jalan yang merupakan satu-satunya jalan bertar ke sekolah itu dengan menggunakan halangan diperbuat daripada konkrit simen.
Berikutan tindakan berkenaan, berlaku kesesakan yang teruk setiap kali ibu bapa pelajar menghantar dan mengambil anak mereka dari sekolah tersebut.
Usaha DPPPL bersama Lembaga Tadbir SRIDU Langkawi dan PAS Kawasan Langkawi dengan menghantar wakil untuk berunding dengan Ketua Umno terbabit gagal untuk menemuinya yang tetap bertegas untuk tidak mengadakan sebarang perbincangan.
Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi pada 18 Januari lalu. Satu jalan alternatif juga sedang diusahakan PAS Langkawi untuk dibina dalam masa terdekat. - ss-