November 26, 2013

BANGKITLAH WAHAI PEMUDA ISLAM!

"Bangkitlah kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah) sama ada dalam keadaan ringan (mudah bergerak) ataupun dalam keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam); yang demikian amatlah baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (At Taubah: 41)

Muktamar Pemuda PAS Malaysia kali ke-54 telah melabuhkan tirai pada 21 November, berlangsung dalam suasana penuh muhibbah dan harmonis, diselangi perbahasan yang mencambah dan kritis. Bermula dengan majlis perasmian penuh gilang di tengah metropolis Petaling Jaya bagi mendengar amanat kepimpinan daripada Ketua Pemuda PAS dan Timbalan Presiden PAS, ia turut diserikan dengan pertunjukan aset dan kekuatan Pemuda PAS, seperti Kelab 4WD, Alternative Riding Club, Alternative Cycling Club, Alternative Photography Club, MUSIKA, dan anak-anak cilik Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sebagai manifestasi keterbukaan Pemuda PAS untuk menyantuni citra segenap lapisan anak muda Malaysia.

Bertemakan INFIRU yang bermaksud bangkit dan bingkas, ia sebagai seruan ketangkasan dan kemaraan Pemuda PAS dalam memimpin kebangkitan anak muda bagi mengisi agenda mencorak masa depan Malaysia. Almarhum Prof HAMKA ada menulis mengenai istilah INFIRU yang juga dibawa masuk ke dunia Melayu melalui istilah NAFIRI iaitu sejenis alat muzik untuk membunyikan semboyan perang pada suatu ketika dahulu. Inilah simbolik semboyan yang dikumandangkan oleh Allah SWT dalam ayat 41 Surah at-Taubah agar pemuda PAS bangkit mempersiapkan diri untuk terus ke hadapan tanpa lengah dan lelah di lapangan tarbiah, dakwah dan siasah.

Dalam ucaptama beliau, YB Ketua Pemuda PAS (Mantan) telah menggariskan empat cabaran yang bakal dihadapi oleh Pemuda PAS, iaitu - agenda tarbiah bernilai-tambah; Penguasaan budaya politik baharu; Melahirkan murabitun / sumber manusia kompeten; dan Menyebarluas buah tangan PAS pada masyarakat.

Beliau turut menggagaskan lima halatuju yang perlu direalisasikan oleh legasi kepimpinan beliau, iaitu - Pembinaan keterampilan tokoh pemimpin muda; Penguasaan 60% sokongan pengundi muda; Penggunaan media baru secara optima; Penampilan Pemuda PAS yang prihatin dan berkebajikan; serta Pengukuhan PAS dan Pakatan Rakyat.

Di penghujung Muktamar tersebut yang berlarutan sehingga lewat malam – umpama larian marathon yang menguji konsentrasi dan stamina, saf baru kepimpinan Pemuda PAS Malaysia Sesi 2013/15 telah diumumkan, hasil corak yang dilakar 638 orang perwakilan (dianggarkan lebih 60% ketua pemuda dan perwakilan kawasan adalah muka baru) yang datang daripada seluruh pelusuk tanah air.

Natijahnya, baton Ketua Pemuda berpindah tangan kepada Saudara Suhaizan Kaiat – mantan Ketua Pemuda PAS Johor berkelulusan BSc dan MSc (Malaysia) dalam bidang teknologi maklumat yang menginfakkan sepenuh masa untuk PAS di Johor selepas melepaskan jawatan sebagai pensyarah di sebuah IPTA; baton Timbalan disambut oleh Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi – tokoh ulama muda berasal dari Rusila yang berkelulusan BA (Yaman) dan MA (UK) dalam bidang pengajian Islam dan menginfakkan diri untuk mendidik anak bangsa di Terengganu; manakala  baton Naib diteruskan oleh Ir Khairil Nizam Khairuddin – teknokrat muda berkelulusan Bsc dan MSc (Malaysia) kejuruteraan minyak & gas yang bertubuh kecil tetapi berjaya membina keluasan jaringan sumber manusia dan kewangan di dalam dan luar negara.

Seramai 12 AJK turut dipilih daripada 26 calon yang bertanding bagi melengkapkan pasukan harapan ini, dengan didahului Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuddin – berkelulusan BA  (Mesir) pengajian Islam yang berkecimpung dalam dunia keusahawanan di Pulau Pinang; Ustaz Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al Jufri – berkelulusan BA dan MA (Mesir) pengajian Islam yang tersohor mengisi ruang dakwah di pentas masyarakat, dalam dan luar negara; Ustaz Ahmad Fadhli Shaari – seorang hafiz al-Quran berkelulusan BA (Mesir) pengajian Islam yang kini merupakan Ketua Pemuda PAS Kelantan yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan; Saudara Syahir Sulaiman (penulis) – berkelulusan BA (Malaysia) dan mengikuti pengajian MA dalam bidang ekonomi; Saudara Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus – peguam muda berkelulusan BA (Malaysia) undang-undang yang menjadi pemegang obor kebangkitan anak muda di Sarawak; dan Ustaz Zaharuddin Muhammad – berkelulusan BA dan MA (Mesir) pengajian Islam yang diiktiraf kawan dan lawan akan ketinggian ilmunya, juga merupakan Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Seterusnya, YB Ustaz Ahmad Yahaya – ADUN Alor Mengkudu berkelulusan BA (Mesir) pengajian Islam yang juga merupakan mantan Ketua Pemuda PAS Kedah; Saudara Mohd Faizul Salleh – tokoh pemimpin muda berkelulusan mekanikal petroleum yang makin meningkat naik di Johor; Dr Mohd Fadli Ghani – berkelulusan BA, MA dan PhD (Malaysia) dalam bidang kajian sosial yang banyak mengkaji pengkisahan sejarah PAS; YB Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan – ADUN Gunong Semanggol berkelulusan BA (Mesir) pengajian Islam yang juga merupakan mantan Ketua Pemuda PAS Perak; Saudara Nurul Islam Mohd Yusof – berkelulusan BSc (Malaysia) kejuruteraan yang berpengalaman dalam dunia siber dan media baru; Saudara Mohd Sany Hamzan – digelar ‘Jeneral Sany’ atas keupayaannya mengemudi jentera pilihan raya Pemuda PAS dan turut dipanggil sebagai ‘Tansani’ atas kepetahan pidatonya yang mirip Ustaz Nasrudin Tantawi.

Sebagaimana yang disebut penulis dalam artikel terdahulu, ‘Kekuatan PAS Pada Kepelbagaiannya’, segmentasi umur dan senioriti kekal menjadi pengikat kesinambungan mata rantai perjuangan PAS menempuhi cabaran semasa, manakala klasifikasi perbezaan latar pendidikan formal pula mewujudkan kelompok ulama, profesional dan aktivis yang sifatnya saling melengkapi dan bukan memusuhi - umpama tungku berkaki tiga, akan rebah jika satu tiada. Kejayaan PAS mengurus kepelbagaian ini bukan sahaja dicemburui lawan malah turut dikagumi kawan, dengan sinergi kerencaman formasi senioriti dan pendidikan sesama ahli dan pimpinan di semua peringkat.

Susunan batu-bata ini akan kekal menjadi formulasi keteguhan PAS dalam survival politik Malaysia dan antarabangsa. PAS kini berada di ambang penerimaan nasional, berkat kekuatan yang ada pada kemajmukannya dan kepemudaannya. Umpama alunan nafiri, terus bingkas dan rancak memperkemas langkah, bekal berdepan cabaran yang mendatang.

Jikalau kekanda mengangkat peti, pastikan benar muatnya barang;
Jikalau Pemuda bersatu hati, kerja yang sukar menjadi senang!

Datuk Penggawa menangkap ikan, dituju buluh tangkap seghoti;
Hidup bertaqwa kerja yang itqan, ikhlas disauh tetap menjadi!

Bintang jerejak di langit tinggi, bulan ternampak ditopang bahu;
Pimpinan bijak pandai santuni, bingkas bergerak berdaya maju!


*Syahir Sulaiman adalah EXCO Pemuda PAS Malaysia Sesi 2013/15