January 24, 2014

PEMUDA PAS SELANGOR LANCAR PERIT DI SHAH ALAM

KUALA LUMPUR: Lanjutan daripada flashmob kempen kesedaran kepada masyarakat terhadap kenaikan kos sara hidup di Plaza Tol Sungai Rasa 31 Disember 2013, Pemuda PAS Selangor akan meluaskan sebaran umum kepada penduduk negeri itu khususnya dan Malaysia seluruhnya mengenai kenaikan itu dengan menubuhkan Gerakan Perit.

Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mohamad Rosharizan Mohamad Rozlan berkata, Perit adalah sebuah gerakan menyeluruh yang akan meliputi kempen-kempen kesedaran mengenai kenaikan kos sara hidup secara berfasa.

Menurutnya, matlamat utama Perit ditubuhkan adalah untuk menyedarkan pihak-pihak bertanggungjawab agar tidak cuai dengan amanah mereka dan menyebar luaskan maklumat-maklumat penting kepada masyarakat supaya jelas dengan hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, pelancaran Gerakan Perit akan dibuat secara rasmi oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim di Plaza Tol Batu 3 (Lebuhraya Persekutuan), Shah Alam, esok.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua agar menjadikan Gerakan Perit itu menjadi satu kempen yang mempunyai satu jenama yang tersendiri dalam menyantuni masyarakat.

“Fokus kita adalah untuk mendidik masyarakat dan menyedarkan pihak bertanggungjawab supaya lebih cakna dalam urusan yang melibatkan amanah yang besar,” ujarnya.

Gerakan itu, ujarnya melangkaui sempadan politik kepartian dan diharapkan agar masyarakat dapat memberi sokongan penuh dalam merealisasikan matlamat murni Perit. 

January 20, 2014

ISLAM ITU ADIL UNTUK SEMUA...

1. Antara prinsip Islam ialah adil kepada semua. Bukan sahaja kepada ummat manusia bahkan termasuk tumbuh - tumbuhan dan binatang. Ia menepati konsep Rahmatan Lil A'lamin ( Rahmat kepada sekelian Alam ). Adil di dalam Islam bukan suatu pilihan malah ia adalah satu kewajipan. Sebagaimana zalim itu diharamkan oleh Allah swt, demikianlah Adil itu diwajibkan oleh Allah swt. Sabda Rasulullah saw sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.huma

مَنْ أَعانَ على خُصُوْمَةٍ بِظُلْمٍ أو يُعِينُ على ظُلمٍ لَمْ يَزَلْ في سَخَطِ اللهِ حتَّى يَنْزِعَ

"Sesiapa yang membantu persengketaan dengan cara zalim atau membantu kezaliman, maka ia senantiasa berada di bawah kemurkaan Allah swt sehinggalah dia meninggalkan perbuatan itu dan bertaubat. (Riwayat Ibnu Majah)

Firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah Al Maidah: Ayat 8)

2. Setiap kita mestilah berlaku adil justeru itulah yang diajar oleh Islam, khasnya pemimpin. Tanggungjawab seorang pemimpin ialah memegang amanah dan urusan rakyat atau orang dipimpin oleh mereka. Maka adil adalah syarat utama menjadikan ia seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan di redhai oleh Allah swt. Sabda Rasulullah saw dari Abi Hurairah Rha.

((سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ)).ـ

“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya kelak :

Pertama: Imam (pemimpin) yang adil.

Kedua: Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.

Ketiga: Insan yang hatinya terpaut dengan mesjid.

Keempat: Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kelima: Insan yang di ajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata: ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’

Keenam: Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.

Ketujuh: Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Adil bagi pihak rakyat pula ialah mentaati pemimpin yang adil dan bertaqwa serta bersedia menasihati andainya mereka menyeleweng dari amanah dan menindas rakyat yang dipimpin oleh mereka. Mengampu atau menyembunyikan kezaliman pemerintah juga satu kezaliman apatah lagi cenderung untuk bersama dengan kezaliman yang dilakukan. Firman Allah swt :

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (Surah Hud: Ayat 113)

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat

December 6, 2013

Lembah Bujang : Tinggalan Sejarah...


Antara subjek paling susah yang saya pernah belajar ialah Ancient Indian Civilization yang diajar oleh Assc Prof Dr Arshad Islam. Subjek itu sangat susah bagi saya kerana ia merupakan maklumat yang hampir 100 peratus baru buat saya. Dalam masa yang sama Prof mengajar secara ‘old school‘ yang mana sebelum kami dibawa ke peringkat analisis, kami perlu sangat banyak menghafal. Peraturan nahu kitab Veda pun dipaksanya kami hafal.

Mengkaji Tamadun Indus awal, kami meneroka bersama data-data arkeologi dari Lembah Zhob di utara Baluchistan. Kami juga dikehendaki memahami tablet tembaga Mohenjo-daro hinggalah kepada menganalisis pengaruh Trio, Asvaghosa, Nagarjuna dan Aryadeva ke atas seni Gandharan.

Kajian-kajian di dalam subjek ini memahamkan kepada saya bagaimana perkembangan yang berlaku kepada agama Hindu, reformasi Buddha dan tajuk ‘assignment‘ akhir saya ialah “menganalisis kemasukan konotasi agama ke dalam sistem kasta pasca kedatangan kaum Aryan”.

Sejujurnya, banyak fakta yang saya sudah tidak ingat, namun subjek yang sangat perit ini banyak memberi pengetahuan kepada saya tentang perkembangan tamadun manusia di Benua India, yang merebak ke kawasan Teluk seperti Bahrain, hinggalah ke Lembah Bujang dan Borobudur.

Saya berkongsi cerita ini kerana tertampar oleh keangkuhan ahli politik, dan orang ramai yang merumuskan kemusnahan Candi 11 di Lembah Bujang sebagai remeh dan ia sekadar tinggalan HINDU.

AL-BIRUNI DAN TAMADUN INDIA

Mungkin kita terlupa atau tidak pernah tahu tentang Abū al-Rayhān Muhammad ibn Ahmad al-Bīrūnī. Beliau yang dikenali sebagai Alberonius atau Al-Biruni meninggal dunia pada 13 Disember 1048 di Ghazni.

Para pengkaji dalam bidang sejarah dan ketamadunan seperti Francis Robinson berpendapat bahawa al-Biruni yang merupakan seorang ulama Islam dan saintis terkenal, adalah pengasas kepada bidang INDOLOGY iaitu bidang yang mengkaji sejarah dan tamadun benua India. Al-Biruni menghasilkan kitab “Tarikh Al-Hind” (History of India) melalui sedekad keberadaan beliau di India di tengah-tengah masyarakat beragama Hindu.

Al-Biruni juga memberikan kepada kepada satu sampel kaedah penyelidikan yang  adil. Kerana itu beliau juga dianggap sebagai pelopor kepada bidang anthropologi. Al-Biruni tidak bias dalam menilai malah menganalisis dapatannya untuk menjelaskan mengapakah kaum Hindu sangat bermusuh dengan umat Islam. Al-Biruni juga akhirnya disenangi oleh pemuka-pemuka tempatan yang melihat beliau sebagai seorang ‘orang luar’ yang jujur dalam mencari ilmu pengetahuan.

Sikap menjaga amanah ilmu beliau disebut:

I shall not produce the arguments of our antagonists in order to refute such of them, as I believe to be in the wrong. My book is nothing but a simple historic record of facts. I shall place before the reader the theories of the Hindus exactly as they are, and I shall mention in connection with them similar theories of the Greeks in order to show the relationship existing between them.(1910, Vol. 1, p. 7;1958, p. 5)

Al-Biruni juga menghasilkan sebuah kitab yang mengkaji pemikiran kaum Hindu. Kitab itu dikenali sebagai “Critical Study of what India Says, Whether Accepted by Reason or Refused“, yang juga lebih dikenali sebagai Indica.

KEPENTINGAN ILMU MERENTAS AGAMA DAN BANGSA

Sangat tidak wajar untuk kita berkata, “ah, itu tinggalan Hindu”, “itu benda syirik” apatah lagi kita sedang membangunkan sebuah negara yang penduduknya berbilang bangsa dan agama. Aqidah adalah urusan kita sesama umat Islam dan Aqidah Islam mempunyai pandangannya terhadap kepercayaan-kepercayaan yang lain. Agama yang lain juga mempunyai ulasan dan kritikan mereka terhadap kepercayaan kita sebagai umat Islam.

Tetapi aspek ketamadunan, pengalaman manusia dalam membina kehidupan, ia merentas bangsa dan agama. Kita mengkaji segala-galanya. Dan pemusnahan Candi 11 itu mestilah menjadi tragedi terakhir di negara kita, manakala sumber-sumber sejarah yang lain di Lenggong, di Beruas dan lain-lain mestilah dipelihara untuk ilmu.

Dan kerajaan yang bijak, akan memanfaatkan ia untuk tujuan pelancongan yang berfaedah.

Kerajaan Turki memelihara bandar Birgi di Ödemiş Izmir, serta diwartakan seluruh wilayahnya sebagai World Heritage Centre oleh UNESCO pada tahun 2012, tanpa sedikit pun menjejaskan kepentingan pendudukan seperti yang dihujahkan secara dangkal oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai, malah yang dirisaukan adalah kehilangan satu Dewan Undangan Negeri, jika kawasan Lembah Bujang digazetkan!

Khuatir sekali, apa sahaja isu yang timbul di Malaysia, ahli politik akan menyempitkan isu tersebut kepada sentimen parti, bangsa, dan agama. Mangsa sebenarnya adalah ilmu, akademik dan pembodohan jangka panjang masyarakat.

Ya, ia memang sebuah ujian.

Ujian yang menguji sistem nilai kerajaan dan keupayaan mereka mengekalkan khazanah dunia bersama pemeliharaan kepentingan penduduk tempatan. Jika tidak tahu, pergi ke luar negara dan belajar daripada yang tahu.

Ironi sekali pada tahun 2013, kerajaan memutuskan untuk menjadi subjek Sejarah sebagai subjek wajib lulus, pada tahun yang sama Lembah Bujang dimusnahkan untuk projek perumahan.

http://saifulislam.com/