September 28, 2011

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR - KHAIRY PERLU TEGAS DESAK KERAJAAN

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

                                         KHAIRY PERLU TEGAS DESAK KERAJAAN

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan kenyataan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang menyokong cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, supaya Kerajaan Pusat meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan undang-undang Hudud yang telah diluluskan di DUN Kelantan sejak 20 tahun yang lalu. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengucapkan tahniah di atas keberanian Khairy memberikan pandangan yang  ‘menongkah arus’ daripada kejahilan dan kejumudan pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO yang lain termasuk Presiden UMNO sendiri berkenaan isu hudud ini. Sepatutnya UMNO yang dikatakan mewakili masyarakat Melayu Islam dan telah menjadi penguasa di dalam Negara ini lebih daripada 50 tahunlah yang perlu berada di pentas utama politik Malaysia untuk melaksanakan hukum Hudud di dalam negara ini dan tidak sepatutnya menghalang Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakannya di peringkat Negeri Kelantan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga perjuangan Khairy untuk meminta Kerajaan Pusat melaksanakan permintaan beliau ini tidak hanya berjalan separuh jalan sahaja malahan beliau sendiri sebagai Ahli Parlimen Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO perlu menggunakan seluruh ruang dan peluang yang ada untuk mempastikan pihak Kerajaan melaksanakan pindaan tersebut. Jangan hanya pandai bercakap dan beretorik di dada akhbar untuk menjuarai isu hudud tetapi menjadi pemuda yang bacul dan pengecut apabila ditekan dan diancam ugut oleh pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang lainnya. Pergerakan Pemuda UMNO perlu bangkit menyokong dan mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda mereka dengan mendesak Kerajaan supaya melaksanakan pindaan tersebut dan tidak mempedulikan ancaman dan ugutan daripada parti sekutu BN yang lain.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mendoakan semoga perjuangan Kerajaan PAS Negeri Kelantan untuk meneruskan agenda perlaksanaan hukum Hudud seperti yang telah diluluskan dahulu akan sentiasa dipermudahkan dan diberkati oleh Allah Taala.   


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR JABATAN PILIHANRAYA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA - PENIPUAN SEMAKIN TERBONGKAR

KENYATAAN AKHBAR JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

PENIPUAN SEMAKIN TERBONGKAR

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berasa cukup positif dan gembira dengan pembongkaran isu-isu yang telah dibuat mutakhir ini oleh orang perseorangan ataupun badan-badan NGO yang membabitkan penipuan, penyelewengan dan salah guna kuasa oleh penjawat awam dan agensi jabatan kerajaan di dalam memastikan penerusan kuasa UMNO dan Barisan Nasional di dalam pilihanraya lalu. Baru-baru ini melalui laman sesawang Malaysiakini telah didedahkan bahawa seorang pemastautin tetap yang memohon untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan negara ini telah ‘dinasihatkan’ oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara supaya ‘membalas budi’ dan menjadi tugas utama beliau sekiranya diberikan kerakyatan untuk mengundi parti pemerintah iaitu UMNO/BN.

Begitu juga dari petikan Wikileaks (kabel diplomatik Amerika yang bocor), pendedahan Pengerusi Mafrel (NGO Pemantau Pilihanraya), Malek Husin, terhadap pengakuan yang telah dibuat oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengakui UMNO telah melaksanakan ‘kempen kotor’ untuk merampas Sabah daripada PBS waktu itu dengan memberikan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan Malaysia kepada lebih 600,000 pekerja asing (kebanyakan dari Indonesia dan Mindanao, Filipina) untuk menjadi pengundi berdaftar di Sabah. Bahkan Tan Sri Rashid mengakui secara peribadi telah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu khusus untuk membantu UMNO di Sabah. Ianya juga dikenali sebagai ‘Projek IC’ yang turut membabitkan Perdana Menteri Malaysia waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menurut laporan tersebut.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan pendedahan sebegini telah jelas mengesahkan dan membenarkan dakwaan pihak Pakatan Rakyat terhadap penipuan dan penyelewengan kuasa yang telah dilakukan oleh UMNO/BN selaku pihak kerajaan untuk meneruskan kekuasaan mereka memerintah negara ini secara ‘kotor dan haram’. Sepatutnya pihak UMNO/BN selaku Kerajaan yang memerintah negara ini berasa malu dan insaf terhadap tindakan mereka membelakangkan undang-undang negara dan mengkhianati amanah rakyat.

Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa supaya siasatan segera dilakukan terhadap pendedahan yang telah dibuat oleh sebuah jawatankuasa yang bebas dan telus serta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku-pelaku yang telah menyalahguna kuasa hatta mantan perdana menteri sekalipun. Sesungguhnya mereka yang telah terlibat di dalam sebarang penyalahgunaan kuasa ini adalah merupakan PENGKHIANAT AGAMA, BANGSA DAN NEGARA. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru dan mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk tampil membuat pendedahan sekiranya ada terhadap penyelewengan dan penipuan sistem pilihanraya di dalam negara ini.

MOHD SANY BIN HAMZAN    
PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

21 September 2011