July 30, 2009

BAHAGIA DUNIA AKHIRAT - CINA ISLAM

Celakanya, banyak manusia yang beranggapan bahawa syurga yang akan datang itu terpisah dari kehidupan sekarang ini. Syurga yang akan datang itu tidak terkait dengan bumi ini." Achmad Chojim, Membangun Syurga:Bagaimana Hidup Damai di Bumi Agar Damai Pula di Akhirat, Jakarta, Penerbit Pt Serambi, 2004, ms157.Petikan itu memberikan kita pengajaran bahawa dengan melupakan kehidupan di dunia, kita tidak mungkin dapat memasuki syurga di akhirat. Ia mempunyai hubung kait yang erat, kerana kehidupan dunia dianggap sebagai jambatan kehidupan di akhirat.Kehidupan di dunia dibahagikan kepada dunia dimensi, iaitu dimensi hubungan manusia dengan Allah SWT sebagai pencipta dan dimensi kemanusiaan, hubungan bermasyarakat kerana manusia adalah makhluk bermasyarakat. Islam meletakkan kehidupan bersosial dan bermasyarakat kerana pengekalan ummah dan kesinambungannya adalah bergantung kepada kekuatan sosial ummah yang berkenaan.Adalah tidak tepat bagi sesiapa pun untuk menolak dunia atas alasan demi keutamaan hidup di akhirat atau menolak akhirat untuk hidup selesa di dunia. Kerana itulah Islam membahagikan corak kehidupan ini kepada dua tanggungjawab yang saling berkaitan, iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Fardu ain lebih menitikberatkan tanggungjawab individu terhadap Allah SWT dan ia dinilai berdasarkan amal ibadat dan kepatuhan kepada "penyerahan diri".Fardu kifayah pula meletakkan tanggungjawab sebagai ahli dalam kumpulan masyarakat, yang mana akan menentukan kelangsungan komuniti, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Melalui sumbangan individu sebagai ahli masyarakatlah maka terdirinya sesebuah tamadun dan kekuatan ummah.Achmad Chojim mengulas "Umat Islam tertinggal dalam kehidupan dunia kerana umat Islam telah menceraikan iman dan akal fikiran. Dunia sebagai ladang bagi akhirat diabaikan. Padahal, fungsi akal fikiran adalah untuk menata dunia ini sebagai sarang bagi kehidupan manusia itu sendiri. Melupakan dunia bererti melupakan sarangnya.Tanpa sarang, mana boleh bebas terbang di angkasa? Dunia adalah ladang dan akhirat merupakan tempat untuk menuai. Tanpa menggarap dunia dengan benar, bagaimana kita boleh ke syurga? Tanpa menanam, bagaimana kita dapat mengetam?"Namun, terdapat dua keadaan yang berlawanan. Satu kumpulan manusia hanya menumpukan perhatian untuk ke akhirat dan satu kumpulan yang lain melupakan kehidupan akhirat, hanya menumpukan seluruh kemampuannya mendapat kedudukan terbaik didunia.Bagi kumpulan yang menumpukan perjalanan akhirat, melupakan terus bahagiannya di dunia sehingga menyingkirkan diri daripada masyarakat, tidak berusaha memenuhi keperluan hidup. Hidupnya penuh dengan ibadat dan keperluannya seharian didermakan oleh orang lain. Seluruh masanya digunakan untuk beribadat atau bertapa. Inilah dua golongan manusia ekstrim yang menyempitkan keluasan, kesesuaian dan keunggulan Islam.Menurut Ibnu Arabi, dunia ini adalah tempat kita diberi pelajaran dan harus pula menerima ujian. Ambillah yang kurang daripada yang lebih, di dalamnya. Bersyukurlah dengan apa yang kamu miliki walaupun apa yang dimiliki itu masih kurang berbanding orang lain. Kekurangan itu tidak pula bermakna dunia ini terlalu buruk, ia tetap menjadi ladang bagi hari akhirat.Nabi Muhammad SAW pernah ditanya apa erti keduniaan itu? Rasulullah SAW menjawab: "Segala sesuatu yang menyebabkan kamu abai dan melupakan Tuhanmu." Kegiatan duniawi tidaklah buruk pada dirinya sendiri, tapi keburukannya terletak pada mereka yang lupa kepada Allah SWT.AmalApabila seseorang itu beramal dengan amalan yang soleh ataupun melakukan sesuatu kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat, maka individu itu dikira lebih baik daripada mereka yang tidak melakukan sesuatu amalan pun.Ini kerana sumbangan itu memberi saham bagi menjamin kehidupan yang baik seperti yang dikehendaki oleh Islam dan perlu dihayati oleh manusia. Kebaikan diri individu dalam Islam selalunya dihubungkan dengan kebaikan manusia lain.Neraca kebaikan itu pula ialah menjauhi diri daripada sebarang perkara buruk dan yang diharamkan oleh Allah SWT. Orang yang soleh bukanlah merupakan manusia yang panjang sujudnya. Ia juga bukan orang yang paling banyak kali mengerjakan haji tetapi ialah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.Orang yang bertakwa tidak bererti mengabaikan kehidupan di dunia . Kehidupan dilaksanakan secara penuh bertakwa dan berhemat kerana ia yakin akan memperoleh berkat buat kehidupan di akhirat. Dia amat memahami bahawa hakikat, takwa adalah landasan kehidupan dunia dan akhirat sekaligus.Allah SWT banyak membicarakan dalam al-Quran bahawa seseorang yang bertakwa akan memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Ini ditegaskan secara jelas berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat." Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka." Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungan- Nya." (Surah al-Baqarah ayat 200-202).Allah mengingatkan bahawa kita tidak boleh meninggalkan masalah dunia dan harus berbuat baik sebagaimana Allah SWT sudah berbuat baik kepada kita. Kita harus memahami bahawa kalau seseorang itu hanya menekankan satu aspek hidup iaitu dunia sahaja atau akhirat sahaja bererti ia sudah mengingkari perintah Allah SWT .Allah telah berbuat baik kepada kita dengan cara menyediakan kebahagiaan dunia sekali gus akhirat.Allah menegaskan dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud: "Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan."Kalau kita tinggal di masjid berzikir dan berpuasa, tetapi nafkah kita ditanggung orang lain, adakah kita layak digelar mukmin sejati? Tidak ada jaminan. Saya tidak mengatakan itu buruk. Tetapi itu pasti bukan cara hidup Islam yang terbaik.Hakikatnya hari ini ada sebahagian daripada para intelektual muslim bersikap prejudis, pengecut dan enggan untuk terlibat dalam kancah politik dunia bagi tujuan memperbetulkan situasi buruk (perpecahan) dengan memilih politik uzlah atau mengisolasi diri daripada terlibat dalam masalah duniawi. Malah ayat-ayat al-Quran yang menggambarkan kebaikan hidup di akhirat dicerita dan diberikan ulasan yang difahami sebagai mencela dan mencerca dunia.Kesannya ramai di kalangan mereka yang cuai dan mengabai tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat, bahkan lupa kepada tugas yang dia dipertanggungjawabk an. Dan kita sering mendengar perkataan yang sangat popular iaitu dengar kata-kata mereka "dunia ini seperti bangkai dan mereka yang mencari dan menuntutnya adalah anjing."Manusia diharamkan merendahkan diri terhadap alam raya ini sebab dengan dengan demikian itu manusia telah mempersendakan rencana dan ketentuan Allah SWT yang telah memuliakan dan melebihkan manusia terhadap semua makhluk-Nya yang lain. Sikap positif terhadap dunia inilah yang telah membuat para tabii di zaman antara abad pertama hingga abad keenam menjadi pelopor dalam memajukan sains dan teknologiDi sini dapatlah difahami bahawa definasi agama itu bukanlah ibadat ritual sahaja seperti yang disangka oleh segolongan mereka yang menolak kemajuan, malah ajaran agama itu merangkumi segala kegiatan hidup dunia dan akhirat (the way of life), hidup dan mati kita seluruhnya hanya untuk Allah Tuhan semesta 'alam. - ss -

July 22, 2009

IMAM BESAR AJAK KE MASJID, MENTERI BESAR GALAK KE PANTAI?

Hari Isnin, 20 Julai 2009, bersamaan 27 Rejab 1430H, umat Islam seluruh dunia memperingati peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa besar dan antara yang terpenting dalam sejarah permulaan Islam itu membawa bersamanya lautan iktibar dan hikmah yang kekal menjadi panduan dan peringatan kepada umat Islam hingga ke akhir dunia.

Di antara pengajaran dan perkara utama ditonjolkan menerusi apa yang dialami Rasulullah s.a.w. di dalam peristiwa itu ialah berkaitan kepentingan mendirikan solat. Menerusi peristiwa Israk dan Mikraj Baginda s.a.w. menerima syariat mendirikan solat lima waktu sehari semalam.
Diriwayatkan juga Nabi Muhammad s.a.w. telah mengimami solat bersama para anbiya dan mursalin. Episod itu bukan sahaja mengisyaratkan Baginda s.a.w. sebagai penghulu segala anbiya dan mursalin, malah kepimpinan beliau itu dikaitkan pula dengan penghormatan diberikan oleh sekalian mereka dalam memimpin ibadat utama kepada Allah itu.
Kejadian itu juga dijadikan iktibar betapa Islam amat menekankan solat berjamaah. Sebab itu setiap kali para asatizah dan ulama menceritakan Israk dan Mikraj, mereka tidak akan ketinggalan mengaitkannya dengan kepentingan menjaga solat dan memakmurkan masjid menerusi solat berjamaah.
Amat malang bagi umat ini, meski pun peringatan dan penekanan mengenai kepentingan solat berjamaah sering diulangsebut pelbagai pihak yang menitikberatkan amalan itu, ia masih terlalu jauh untuk menjadi tabiat harian umat Islam.
Fenomena masjid dan surau yang kosong dan lengang terzahir di mana-mana. Pihak pemerintah pula lebih gemar memperbanyakkan jumlah masjid berbanding mengambil daya usaha memperbanyakkan jumlah anggota kariah yang melazimi masjid sedia ada untuk berjamaah.
Mereka lebih ghairah mengeluarkan belanja menghias dan memperindahkan masjid dan surau berbanding memakmurkannya dengan berbagai aktiviti berpatutan dan berterusan di situ.
Fenomena ini agak menyeluruh. Sebab itu apabila berlaku kejadian 'sejadah terapung' di Masjid Kristal, Kuala Terengganu, akhir bulan lalu, ada pandangan mengaitkannya dengan peringatan Allah agar umat Islam memperbetulkan kepincangan ini.
Sebuah akhbar Inggeris, 30 Jun lalu memetik ulasan Imam Besar Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz mengenai kejadian yang dianggap aneh dan menggemparkan itu.
"Tidak perlu panik. Kejadian itu adalah ingatan kepada umat Islam agar tidak mengabaikan tanggungjawab menunaikan solat berjamaah," ujarnya.
Menurut laporan akhbar itu, seorang wanita dari Seremban yang menziarahi masjid popular di tengah Sungai Terengganu itu terserempak dengan fenomena pelik itu. Beliau dikatakan sempat merakamkan kejadian 'sejadah terapung' itu menggunakan kamera telefon bimbitnya.
Penyebaran cerita itu dikatakan menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat berdekatan. Aizi Saidi bagaimana pun mengaitkan kejadian itu sebagai gambaran sikap tidak ambil berat rakyat negeri Terengganu dengan tuntutan menunaikan solat berjamaah.
Beliau malah mengakui fenomena masjid kosong semakin menjadi lumrah di negeri itu. Katanya, Terengganu mempunyai masjid yang sangat banyak, tetapi jumlah jemaah yang memakmurkannya amat mendukacitakan.
"Sebilangan masjid kita malah kekurangan ahli jemaah walaupun ketika solat Jumaat," akhbar itu memetik pengakuan beliau.
Pengakuan terus-terang itu bukan suatu yang mengejutkan. Ia bukan cerita baru. Cerita masjid-masjid di Terengganu kosong dan lengang kedengaran sejak berdekad dulu.
Hanya buat beberapa tahun di zaman pemerintahan PAS, fenomena itu diperbaiki. Sebahagian besar masjid milik kerajaan kelihatan "basah" dan makmur. Jumlah anggota kariah yang menghadiri masjid meningkat mendadak di serata negeri. Kemakmurannya ditambah dengan siri kuliah dan tazkirah yang silih berganti.
Perkembangan positif dan membanggakan itu bagaimana pun susut dan beransur pupus ekoran tindakan politik oleh Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih pemerintahan pada 2004.
Ia dimulakan dengan pemansuhan semua Jawatankuasa Masjid Mukim (JMM) dilantik oleh kerajaan PAS. BN menggantikannya dengan kumpulan manusia yang sealiran dengan fahaman politiknya.
Keghairahan BN membalas dendam kepada penyokong parti lawan di peringkat kampung juga gagal mengambilkira keperluan menjaga kemakmuran masjid. Orang yang BN lantik sebagai Ahli JMM sebahagian besarnya bukan dari jenis manusia yang dekat dengan masjid. Satu-satunya kelayakan diambil kira ialah pendirian dan kecenderungan politik mereka yang memihak BN.
Akhirnya berlakulah fenomena masjid-masjid yang kosong dan kontang. Jumlah ahli kariah yang berjamaah merosot mendadak. Bilangan majlis ilmu juga tidak lagi sekerap sebelumnya. Sebahagian besar tenaga pengajar dan ustaz terlibat memberikan kuliah dan tazkirah tidak lagi diberikan ruang meneruskan usaha dakwah dan pengajaran agama.
Sikap sepi dan tidak serius BN terhadap usaha memakmurkan masjid amat terserlah. Mereka turut menganjurkan majlis memperingati Israk dan Mikraj. Ingatan dan ajakan kepada hadirin agar sentiasa mengunjungi masjid dan mendirikan solat secara berjamaah turut disuarakan para penceramah di majlis itu.
Namun, suratan atau kebetulan, petang menjelang 27 Rejab (Ahad lalu) juga kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Dato' Ahmad Said turut mengumumkan satu agenda penting dalam kalendar pelancongan negeri. Ia telah memutuskan akan menghidupkan kembali 'Pesta Main Pantai', satu pendekatan yang amat bertentangan dengan hasrat memakmurkan masjid.
Pesta itu adalah amalan tradisi masyarakat Terengganu sejak dulu. Ia dikatakan dibuat oleh masyarakat kampung yang bertanam padi sebagai acara hiburan mereka selepas selesai musim menuai. Mereka akan membawa keluarga ke tepi pantai, mendirikan khemah dari kayu atau buluh. Daun kelapa berpelepah akan digunakan sebagai dinding dan atap khemah.
Mereka akan berkampung di situ buat beberapa hari sambil berehat dan mengadakan aktiviti sukan rakyat dan persembahan hiburan kebudayaan.
Pesta itu diteruskan di era moden dengan sedikit pengubahsuaian. Ia bagaimana pun terhenti seketika sebelum ini. Pandangan beberapa pihak, terutama ulama dan pemimpin agama diambil kira. Pesta sebegitu didapati banyak mengundang kesan tidak baik kepada masyarakat, terutama berhubung gejala sosial dan dorongan melakukan maksiat.
Kini, BN Terengganu telah berkeputusan menghidupkannya kembali. Tidak dapat dipastikan pandangan ulama dan tokoh agama mana yang mereka rujuk.
Pesta itu bakal dilangsungkan selama dua minggu pada awal bulan depan. Kerajaan negeri menyandarkan rasionalnya kepada melaksanakan agenda pelancongan, menghidupkan seni warisan dan kebudayaan, serta hiburan kepada rakyat.
Memang itulah rasional yang paling mudah dan lumrah digunakan mana-mana pihak untuk menghidupkan sesuatu yang mendapat tentangan sebahagian anggota masyarakat.
Kita juga tidak terlalu jumud sehingga menolak sepenuhnya aktiviti budaya dan seni warisan. Apatah lagi sesuatu itu dikaitkan dengan agenda pelancongan yang dibuktikan dapat menambahkan pendapatan kepada negeri.
Bagaimanapun, sepertimana dibuktikan banyak pihak sebelum ini, penganjuran pesta seumpama itu lebih banyak mudarat berbanding manfaat, terutama terhadap akhlak dan moral umat Islam.
Ia menjadi medan sangat kondusif dan dorongan kepada kejadian yang menyalahi hukum dan suruhan agama. Apatah lagi dalam keadaan biasa tanpa pesta sebegitu pun, kerajaan sudah menghadapi suasana amat sukar menbendung dan mencegah maksiat dan mungkar.
Mengambil kira fenomena kebobrokan sosial dan keruntuhan akhlak masyarakat mutakhir ini, pengumuman kerajaan negeri Ahad lalu yang mahu menghidupkan kembali pesta pantai dilihat amat bercanggah dengan semangat sambutan Israk dan Mikraj.
Ekoran itu ada suara dalam masyarakat negeri itu yang mengatakan, "Imam Besar bersungguh ajak rakyat ke masjid, Menteri Besar pula anjur program galakkan rakyat bermain di pantai".
Tindakan itu bukan sahaja membuktikan kerajaan tidak ambil pusing seruan sebegitu baik oleh Imam Besar Negeri, malah BN sekali lagi tersilap kaedah dan cara untuk mengubati penyakit sosial yang melanda masyarakat.- ss -

July 14, 2009

GOTONG-ROYONG UNIT 'AMAL BERSAMA KETUA PEMUDA AMPANG





































AHAD, 12 JuLai 2009 / 19 REJAB 1430, 09:40:23
Satu majlis gotong-royong membersihkan persekitaran kawasan Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya berhampiran Masjid Darul Ehsan telah diadakan pada 12hb. Julai 2009. Majlis gotong-royong yang dikenali sebagai Gotong-royong AMAL sempena kempen BERSIH, INDAH dan HIJAU ini telah dirasmikan oleh Y.B. Tuan Khasim bin Abdul Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya. "Orang ramai khususnya penduduk setempat hampir untuk menghadiri dan menyertai gotong-royong ini", kata pengerusi penganjur yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Ampang, Ustaz Fazlul Rahimi Maarop. Jangkaan seramai 50 orang peserta akan menyertai gotong-royong ini tercapai.Di samping Jawatankuasa Pengajur, gotong-royong tersebut juga mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada Pejabat ADUN Lembah Jaya, Ketua Kampung Melayu Ampang, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) , Belia Islam Ampang (BISA) dan Unit ‘Amal Ampang. Terdapat pokok – pokok yang di tebang dengan peralatan seperti mesin pemotong pokok, kapak serta cangkul atau penyodok untuk kerja-kerja pembersihan longkang telah berjaya di laksanakan.
Antara ucapan Perasmian, YB Khasim mengharapkan agar pemuda-pemuda sensitif terhadap isu-isu negara serta cabaran masa depan yang memerlukan komitmen yang tinggi.
" pemuda adalah aset ummah dan ia memerlukan satu institusi utama untuk menggerakkan ummah. Kekuatan tenaga, kecerdasan minda dan ketinggian semangat meletakkan generasi muda di saf hadapan " tambah beliau.
Alhamdulillah, program ini selesai jam 2 petang dengan penuh rasa kesyukuran kepada Allah kerana segalanya berjalan dengan baik dan mudah-mudahan kita sama-sama mendapat keredhoanNya di dunia dan di akhirat.Amiin.
Tahniah di ucapkan kepada semua yang terlibat menjayakannya.- ss -

July 10, 2009

BUANG YANG KEROH, AMBIL YANG JERNIH

Ucapan ketua pembangkang tidak ikhlas

Muhammad Arif Ismail Fri Jul 10, 09 9:18:01 am MYT
SHAH ALAM, 10 Julai (Hrkh) - Ketua Pembangkang, Dato' Seri Mohamad Khir Toyo dalam Dewan Negeri disifatkan tidak ikhlas dalam membuat kritikan kepada gaya pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Demikian penegasan yang dibuat oleh Ahli Dewan Negeri Selangor (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz ketika ditemui bagi mengulas ucapan yang dilakukan oleh ketua pembangkang itu.
Katanya, sebenarnya Khir Toyo mempunyai niat yang tidak betul dan tidak ikhlas, seolah-olah mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa dia orang dalam politik dan perpengalaman dalam politik negeri Selangor.
Adun itu juga mempersoalkan kenapa baru sekarang Khir Toyo mahu mempersoalkan dasar yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat negeri Selangor yang mahu memberi kesejahteraan dan kebaikkan kepada rakyat.
Menurut beliau, Pakatan Rakyat adalah gabungan parti yang terbuka kepada sebarang pendapat dan kritikan dari semua pihak.
"Apa yang diucapakan oleh ketua pembangkang ada sedikit kebenaranya dari segi pengalamannya yang sudah lama menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri.
"Tetapi kita juga tidak boleh menerima seratus peratus apa yang diucapkan dalam perbahasan rang undang-undang perbekalan tambahan kerajaan Selangor tadi," tegas beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa perbandingan tidak boleh dibuat di antara orang lama yang sudah memerintah negeri ini dengan orang yang masih baru.
"Ucapan ketua pembangkang itu perlu dilihat dari banyak sudut seperti dia mengulas mengenai peranan ahli majlis dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kemungkinan ada betulnya.
"Cuma dari segi ini kita boleh ubah balik dari segi struktur supaya Adun ada peranan di PBT. Kemungkinan meletak Adun sebagai penasihat atau pun sebelum sesuatu benda di buat, perlu pengesahan daripada Adun," katanya.

July 7, 2009

ANTARA MUSIBAH YANG MELANDA NEGARA

Menteri kesihatan harus menjawab persoalan ini: berapa ramaikah sebenarnya pesakit selesema A (H1N1) yang telah sembuh? Semalam Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 343 orang atau 79 peratus telah berjaya dirawat dan dibenarkan keluar hospital. Namun hari ini, media melaporkan beliau sebagai berkata "seramai 335" atau 72 peratus daripada 468 pesakit wabak tersebut telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital. Liow berkata seramai 133 orang masih dirawat di hospital.Belaiu juga dilaporkan berkata 34 lagi kes baru wabak selesema A (H1N1) disahkan hari ini, termasuk 12 kes penularan tempatan. Daripada jumlah tersebut, seorang lagi peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) di Pulau Pinang hujung bulan lalu dijangkiti wabak tersebut - menjadikan semuanya 26 orang. Semalam negara merekodkan bilangan kes tempatan yang paling tinggi - 34 kes - menjadikan semuanya 113 kes sejak pertama kali dikesan 17 Jun lalu.

July 2, 2009

RAHSIA ANAK MUDA SOKONG PAKATAN RAKYAT

Selepas tsunami politik yang berlaku pada 8 Mac 2008, iklim politik di Malaysia terus panas dan menyaksikan penyertaan aktif rakyat dalam politik. Perkembangan ini semakin rancak apabila beberapa siri pilihanraya kecil yang berlaku selepas itu bermula di Permatang Pauh, diikuti Kuala Terengganu dan kemudian Bukit Gantang. Krisis politik di Perak dan isu penentangan terhadap dasar kontroversi PPSMI ibarat "menyimbah petrol" ke api yang sedang marak. Golongan muda tidak ketinggalan untuk bersama-sama dengan pergolakan politik tanah air. Setakat ini, majoriti anak muda di Malaysia lebih condong untuk menyokong Pakatan Rakyat berbanding BN. Perkembangan ini diakui sendiri oleh pimpinan-pimpinan BN apabila parti pemerintah tersebut tewas di kebanyakkan saluran pengundian 3 dan 4 yakni saluran pengundi muda dalam pilihanraya umum lalu dan beberapa siri pilihanraya kecil. Ramai penganalisis melihat kencenderungan golongan muda bersama Pakatan kerana mereka lebih terdedah kepada maklumat-maklumat alternatif di internet, berbanding golongan tua yang sudah terbiasa dengan maklumat daripada akhbar atau televisyen. Memang satu faktor yang tidak dapat dinafikan, internet memainkan peranan besar dalam mempengaruhi keputusan pilihanraya umum yang lalu. Sebab itulah ramai pemimpin-pemimpin BN membuka blog sebaik sahaja keputusan pilihanraya ke-12 diumumkan kerana menyangka bahawa mereka kalah teruk oleh kerana tidak mempunyai blog! Mereka ini terlupa bahawa jika semua pemimpin BN mempunyai blog atau laman web sekalipun, ia menjadi tidak berguna jika idea yang disampaikan tidak berbeza daripada apa yang boleh dibaca di Utusan Malaysia dan Berita Harian. Maklumat basi ini tidak akan berdaya menarik minat dan selera orang muda, jauh sekali mampu mengubah trend sokongan golongan muda terhadap BN. Sifat melawan atau “rebel” memang tersemat dalam diri golongan muda. Sebab itulah kita dapat melihat bagaimana golongan mudalah yang bangkit untuk melawan sesuatu regim atau kediktatoran. Di negara jiran Indonesia, kita dapat melihat bagaimana golongan muda yang majoritinya mahasiswa memimpin rakyat untuk menumbangkan regim Soeharto yang telah memimpin selama lebih 30 tahun. Dalam sejarah gerakan reformasi di Malaysia sejak 1998, kita dapat melihat bagaimana berbondong-bondong mahasiswa dan anak-anak muda bersama-sama rakyat dalam demonstrasi-demonstrasi anti-Mahathir Mohamad pada ketika itu. Penentangan golongan muda terhadap regim BN bertambah hebat pada hari ini oleh kerana Pakatan berjaya meyakinkan golongan ini bahawa mereka (baca: Pakatan) adalah alternatif yang terbaik bagi BN. Jika Pakatan terus bersatu dan bertambah kukuh sehingga pilihanraya umum akan datang, sokongan kuat golongan muda akan semakin meningkat berikutan pertambahan jumlah pengundi muda dalam daftar pemilih. BN yang ditubuhkan oleh perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein pada 1973 sebagai menggantikan Perikatan telah memerintah Malaysia dengan begitu lama. Jika dikira dengan zaman pemerintahan Perikatan, mereka telah mentadbir negara bermula dari tarikh kemerdekaan sehinggalah hari ini. Apabila sesuatu parti politik memerintah dengan begitu lama dan tambahan lagi sentiasa dalam keadaan kuat (mempunyai majoriti 2/3 di parlimen) sebelum ini, maka lahirlah satu sifat "kerajaan sentiasa betul". Seperti apa yang dikatakan oleh bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, bahawasanya presiden Umno itu seseorang yang paling berkuasa di dunia.Zaid membandingkan kuasa yang ada pada presiden Umno berbanding dengan presiden Amerika Syarikat. “Jika di Amerika, Obama perlu menjawab kepada Dewan Senat, Parti Demokrat dan media, di Malaysia presiden Umno (perdana menteri) boleh berbuat sesuka hatinya tanpa perlu menjawab kepada sesiapa berhubung dengan tindakannya" katanya dalam sebuah forum yang bertajuk 'Can Najib Deliver His Reform Promises?' bulan lalu di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Pindaan perlembagaan yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada 1993 telah menjadikan perdana menteri Malaysia begitu berkuasa apabila raja-raja boleh diseret ke mahkamah khas. Oleh kerana itu, lahirlah sifat angkuh dan sombong pimpinan-pimpinan Umno dan BN. Apabila Umno dan BN merasakan mereka terlalu kuat dan tidak mampu dicabar oleh kumpulan-kumpulan lain, maka mereka menjadi sukar untuk menerima idea-idea baru atau bertentangan. Mereka mahu paksakan kepada golongan muda untuk mengikut cara mereka dan tidak menerima segala kritikan yang diberi. Lihatlah apa yang terjadi kepada orang muda seperti Khairy Jamaluddin di dalam Umno? Walaupun beliau telah menang sebagai ketua Pemuda Umno menewaskan Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir, beliau tidak dilantik untuk menganggotai kabinet baru Najib Razak - antaranya kerana Khairy tidak mengikut "acuan" yang diinginkan banyak "warlord" Umno. Khairy tidak dimahukan lagi oleh Umno oleh kerana beliau tidak bercakap dalam bahasa Umno. Sikap politiknya yang liberal dan tindakannya mempertahankan media alternatif seperti Malaysiakini atau The Malaysian Insider apabila diharamkan untuk membuat liputan dalam perhimpunan agung Umno bukanlah ketua Pemuda yang dimahukan oleh pembesar-pembesar Umno. Pembesar-pembesar Umno mahukan ketua Pemuda yang boleh bercakap dalam bahasa Umno seperti "Umno perlu kuat", "ISA untuk mempertahankan hak Melayu" dan "media alternatif adalah agen asing". Kenyataan-kenyataan seumpama ini hanya boleh dituturkan oleh Khir Toyo atau Mukhriz Mahathir yang mempunyai ideologi "ultra Umno". Umno menganjurkan pelbagai demonstrasi apabila berlakunya krisis Perak. Kita boleh lihat berapa ramai golongan muda yang menyertai mereka berbanding dengan puluhan ribu yang hadir di kediaman MB Perak untuk mendengar ucapan Nizar Jamaluddin yang dirampas kuasanya. Propaganda Umno untuk mengajak anak muda menentang Nizar yang dikatakan "menderhaka" kepada Sultan Perak tidak mendapat sambutan. Propaganda yang mengatakan bahawa Nizar adalah agen DAP juga tidak dapat mempengaruhi pengundi-pengundi di saluran 3 dan 4 yang majoritinya memberikan undi kepada Pakatan dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang, awal April lalu. Oleh kerana BN sudah terlalu lama berkuasa, mereka sering memandang rendah kepada tahap keintelektualan rakyat terutamanya golongan muda. Lihatlah bagaimana TV3 cuba untuk memperbodohkan rakyat dengan propaganda-propaganda tahun 1960-an. Meluat dengan apa yang merek saksikan telah mendorong anak muda beramai-ramai untuk membantu Pakatan tanpa mengharapkan sebarang imbuhan atau upah. Buah fikiran dan tenaga yang diberi dianggap sebagai satu tanggungjawab yang wajib dilakukan walaupun mereka tidak dipaksa oleh mana-mana pihak. Di Bukit Gantang, saya terjumpa dengan sekumpulan penulis blog anak muda yang telah berkampung di kawasan parlimen tersebut untuk memastikan kemenangan Nizar Jamaluddin. Ada yang telah berada di Perak semenjak berlakunya krisis politik di negeri tersebut dan telah berbulan-bulan tidak pulang ke rumah. Mereka mencari dana sendiri dan beroperasi siang dan malam untuk melaporkan perkara sebenar yang berlaku di negeri Perak dan menjawab propaganda-propaganda BN di alam siber. Melihat ketabahan dan semangat mereka menyebabkan saya berasa terharu. Pakatan sangat beruntung kerana mempunyai sokongan yang begitu kuat daripada golongan muda yang merasakan melawan BN sebagai satu tanggungjawab berbanding dengan penyokong-penyokong BN yang sentiasa mengharapkan wang dan upah. Jika Pakatan terus membawa api perjuangan dan agenda perubahan, saya yakin golongan muda akan sentiasa bersama mereka. Saya bersetuju dengan Abdullah Ahmad (Dollah Kok Lanas) yang menyatakan dalam temubual majalah Off The Edge bahawa Najib hanya mampu menjadi PM selama tiga tahun sebelum pilihanraya umum ke-13 dengan syarat Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang terus duduk bersama dan Pakatan kukuh. Jika Pakatan berpecah dan pemimpinnya sentiasa bergaduh sesama sendiri, harapan, buah fikiran dan tenaga golongan muda yang membantu kemenangan mereka akan menjadi sia-sia. Malaysia tidak akan menemui perubahan sehingga sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang.