February 26, 2009

Kadar Tol Naik 0.68 Sen Hingga 50 Sen

Kadar tol naik 0.68 sen hingga 50 sen

KUALA LUMPUR: Kadar tol di lima lebuh raya akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa 1 Mac ini selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata kenaikan kadar tolitu membabitkan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur(Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

"Bagi Plus, kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus( Lebuhraya E1 dan E2) akan dinaikkan sebanyak 0.68 sen sekilometer bagi kenderaan Kelas 1, bagaimanapun kenaikan itu tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.


Beliau berkata, Sprint-Kerinchi dan Damansara Link, kadar tol dinaikkan antara 30 sen dan 50 sen bagi kenderaan kelas satu manakala bagi Akleh, kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kenderaan Kelas 1.

"Kadar tol di Lebuhraya Besraya dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kenderaan Kelas 1 dan bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines berikutan Plaza Tol Salak Jaya ditutup pada 24 Februari lalu.

Sementara itu bagi Lebuhraya NPE pula, kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kelas kenderaan yang sama," katanya. - Bernama

Menarik bukan? Satu lagi hadiah BN untuk rakyat di tengah-tengah krisis ekonomi global. Bayangkan Lebuhraya Akleh yang hari-hari kita lalu pergi balik kerja tu sekarang tolnya RM1.50 akan dinaikkan ke RM2.00 sehala. Banyak tu! Kena boikot pulak nampak gayanya kalau macam ni...

BERITA SEKITAR PERBAHASAN DEWAN RAKYAT - Siasah

PAS desak perkuatkan institusi parlimen.
Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nasharudin Mat Isa mendesak pihak kerajaan melakukan sesuatu penambahbaikan terhadap institusi parlimen yang sewajarnya menjadi tumpuan rakyat untuk mengetahui isu semasa negara.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS menambah, apa yang berlaku sekarang ini parlimen tidak menjadi tempat rujuk oleh masyarakat dan rakyat yang baginya, keadaan ini amat mendukacitakan.
“Kita tidak mahu hanya keindahan fizikal sahaja dititik-beratkan sehingga dihias parlimen seperti hotel sedangkan keperluan untuk rakyat berminat untuk mengambil tahu diabaikan.
“Sedangkan parlimen adalah tempat yang sewajarnya berperanan besar seperti di negara-negara lain yang kemudahan kepada rakyat diutamakan,” katanya dalam ucapan menyokong usul menjunjung kasih.
Mahfuz ‘kilas’ ucapan Ahli Parlimen Kota Belud
Akibat tidak berhati-hati, celahan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berjaya dikilas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sehingga tidak mampu berbuat apa-apa.
Abdul Rahman ketika itu mencelah ucapan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Said berkata, dulu ketika PBS dijatuhkan di Sabah, Anwar Ibrahim yang ketika itu masih di dalam BN berperanan membeli wakil rakyat di sana.
Ismail menjawab, beliau bersetuju dengan apa yang disebutkan oleh Abdul Rahman bahawa Anwarlah yang mengajar mereka dalam isu membeli wakil-wakil rakyat untuk melompat parti.
Ketika inilah, Haji Mahfuz bangun dan meminta persetujuan mereka, “Adakah wakil rakyat dari Sabah bersetuju bahawa ketika itu BNlah yang melakukan kerja-kerja membeli wakil rakyat PBS?
“Mana ahli parlimen Sabah, adakah semua bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Abdul Rahman yang Umno BN membeli wakil-wakil rakyat itu yang kini di dalam BN yang boleh disifatkan sebagai barang dagangan?,” soal Mahfuz menjadikan dewan riuh-rendah.
Ketua Pemuda PAS bangkitkan isu Bahasa Melayu
Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat, Haji Salahudin Ayub membangkitkan lagi isu Bahasa Melayu yang semakin menipis peranannya dalam negara ini.
Katanya, menurut dua ensaiklopedia Times yang ditulis pada 1993 dan New York Almanak (1997) menyatakan Bahasa Melayu mempunyai peluang besar menjadi antara 12 bahasa yang digunakan sebagai bahasa ilmu di dunia.
“Namun kerana BN terlalu tergopoh-gapah ingin juga mengajar pelajaran Sains dan Mathematik dalam Bahasa Inggeris menjadikan Bahasa Melayu surut ke belakang, bukan bergerak ke hadapan,” tegasnya sambil diganggu oleh penyokong BN.
Ketika diganggu Ahli Parlimen Kota Belud yang juga Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang meminta semua pihak bersabar kerana kerajaan perlukan masa untuk membuat keputusan terbaharu.
Salahudin dengan pantas membidas, inilah falsafah mat rempit yang digunakan oleh BN yang tidak berfikir panjang ketika hendak lakukan, kemudian bila sudah terjatuh dan tercedera, barulah meminta agar berhati-hati.
Najib tidak bersifat negarawan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bersifat negarawan berdasarkan tindakannya merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, tegas Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Dr Tan Seng Giaw.
Beliau menimbulkan perkara ini lantaran kebimbangan rakyat terbanyak tidak dapat menerima Najib sebagai perdana menteri pada masa akan datang.
“Sewajarnya beliau mesti bersikap sebagai seorang negarawan yang mampu mewakili senua golongan rakyat dalam negara ini, itulah maknanya menteri yang perdana, perdana kerana mewakili semua kalangan rakyat,” jelasnya.
Gobala cadang Ahli Parlimen BN ditarbiah oleh Tok Guru Nik Aziz
Ahli Parlimen Padang Serai (PKR) Gobalakrishnan mencadangkan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Said, Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Arau, Ismail Kassim agar ditarbiah oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Saya sanggup ambil cuti dan rela memandu membawa tiga orang ini ke kediaman Tok Guru untuk ditarbiah oleh beliau yang sudah 10 tahun saya mengenalinya dan mahir dalam hal mendidik,” tegas Gobala.
Cadangan ini berlaku ketika ketiga-tiga ahli parlimen BN itu mengganggu Gobala yang sedang berucap dalam sesi membahas ucul menjunjung kasih titah diraja. - ss -

February 25, 2009

KETUA PEMUDA PAS PUSAT KATA SPRM ADA RUANG DI PERBAIKI, SAMM PULA KECEWA DENGAN SPRM - Harakah

SEREMBAN, 25 Feb (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub melihat masih ada ruang dan peluang untuk memperbaiki serta meningkatkan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam objektifnya mencegah rasuah secara total.

Beliau yang baharu sahaja dilantik selaku anggota SPRM semalam menyatakan harapan itu kerana masih terlalu awal untuk beliau secara peribadi menghukum SPRM.
Salahuddin terdahulu menyertai majlis perasmian SPRM di Pusdat Dagangan Dunia Putra (P{WTC) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Mengulas lanjut, Sakahuddin berkata SPRM perlu menunjukkan wibawanya termasuk menyiasat semua laporan polis dan laporan kepada badan itu yang dibuat Pakatan Rakyat atau rakyat terhadap salah laku pemimpin Umno/BN.
Beliau merujuk kepada beberapa laporan rasuah membabitkan pemilihan Umno sebelum yang masih belum disiasat sepenuhnya atau dijalankan pendakwaan jika cukup bukti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lobi Parlimen semalam selepas mengadakan sidang media bersama Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berhubung isu cabaran debat PPSMI.
Salahuddin sendiri menyatakan visinya untuk memberikan komitmen yang tinggi kepada SPRM selaku wakil PAS yang dipilih menggangotai suruhanjaya tersebut.
"Terlalu awal untuk saya menghukum SPRM,apa yang penting saya mahu memberi komitmen yang tingggi kepada suruhanjaya tersebut.
"Saya ucapkan terima kasih atas lantikan ini yang akan berkuatkuasa selama tiga tahun, namun ini satu proses biasa," katanya.
Bakar dokuman tanda kecewa terhadap SPRM
Namun dalam perkembangan berkaitan, hari ini kumpulan anak muda yang akan dikepalai Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin akan berhimpun di hadapan SPRM.
Himpunan itu diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap sikap 'double standard' SPRM dalamn menjalankan siasatan ke atas beberapa laporan yang diserah Sekretariat Anak Muda Malaysia (SAMM) berhubung laporan rasuah membabitkan pemimpin Umno/Bn yang hingga kini tifdakl disiasat, kata Badrul Hisham.
Justeru bagi melahirkan rasa hampa dan kesal dengan kelemahan selain sikap 'double standard' SPRM itu, sekretariat anak muda akan membakar semua dokumen bukti rasuah yang pernah diserahkan kepada SPRM sebelum ini.
Upacara membakar dokumen itu bagi memberi 'signal' kepada SPRM bahawa anakmuda sudah hilang percaya kepada badan itu,katanya.
PM Rasmi SPRM di PWTC
Dalam majlis pelancaran SPRM Perdana Menteri berkata, tokoh-tokoh terkemuka negara yang menganggotai lima panel dalam SPRM perlu memastikan gejala rasuah diperangi dengan lebih efektif.
Berucap melancarkan SPRM di PWTC semalam, Perdana Menteri berkata, anggota panel itu dipilih berdasarkan sikap yang baik, integriti, kepakaran, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat.
"Saya percaya anggota panel ini mempunyai keupayaan untuk memastikan rasuah diperangi dengan lebih cekap bermula sekarang," katanya.
Abdullah berkata, kuasa yang diberikan kepada anggota panel itu mesti digunakan untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan dalam menghapuskan rasuah di mana sahaja.
Lima panel SPRM dianggotai oleh 42 tokoh itu ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berperanan menasihat SPRM mengenai dasar, strategi, meneliti dan memperakukan cadangan suruhanjaya ke arah meningkatkan kecekapan serta keberkesanan.
Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah pula dipilih di kalangan anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk menasihat Perdana Menteri dalam segala aspek rasuah.
Ia termasuk memberi ulasan dan mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan Suruhanjaya dan ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah.
Jawatankuasa Aduan pula bagi memantau pengendalian aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai SPRM.
Panel Penilaian Operasi bertanggungjawab mengkaji laporan SPRM berhubung kertas siasatan dan keputusan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Panel juga menasihat dan memperakukan langkah-langkah mempertingkatkan kualiti siasatan.
Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah pula bertanggungjawab menasihat SPRM dalam aktiviti pemeriksaan dan perundingan berhubung amalan, sistem atau tatacara kerja dalam sektor swasta dan awam mengenai pelaksanaan program pendidikan masyarakat serta memantau keberkesanannya. - ss -

February 23, 2009

"Majulah Sukan Menurut ISLAM", Mari Meriahkannya Bersama DPP





Sabtu, 21hb Feb 09 / 26 Safar 1430 - Ampang Sport Planet bermula jam 10 malam berpusu-pusu belia dari kawasan Ampang mengambil peluang bermain futsal dengan Jawatankuasa Pemuda PAS Ampang.
Ianya di hadiri hampir 40 orang belia yang ratanya mempunyai minat yang sama serta beberapa orang pimpinan masyarakat Ampang.
Permainan di jalankan secara bergilir 4 pasukan sekali main dalam masa 10 minit dengan menggunakan 2 gelanggang .
Alhamdulillah,tiada sebarang kejadian yang tidak di ingini berlaku namun kecederaan ringan merupakan adat-resam dalam sesuatu permainan sukan.Setelah tamat waktu yang di tetapkan, peserta di hidangkan dengan sedikit ' tazkirah ' di sampaikan oleh AJK Pemuda PAS Ampang, Ustaz Hasri bin Muh Nasir.Saudara Iqbal bin Bakti selaku Ketua Lajnah Sukan & Rekreasi DPP Ampang mengambil peluang menyampaikan sedikit taklimat ringkas.
Insya Allah, jika di berikan kepercayaan & sokongan dari seluruh belia kawasan Ampang, kami akan meneruskan aktiviti - aktiviti yang baik demi memberikan kefahaman Islam kepada semua.Amiiin. - ss -
" MAJULAH SUKAN MENURUT ISLAM "




February 18, 2009

PAS DAN SKANDAL SEKS PEMIMPIN PARTI LAMAN - Harakah

BUKANlah sesuatu yang wajar jika kehidupan peribadi seseorang didedahkan kepada umum, apatah lagi jika ianya menyentuh tentang aib seseorang. Apatah lagi jika 'kejahatan' yang dilakukan itu dibuat di tempat tertutup dan pelakunya sendiri tidak berbangga dengan maksiat yang dilakukannya dan berasa malu jika kejahatannya diketahui orang.

Itulah sebenarnya hikmah mengapa tuduhan zina perlu ditampilkan dengan empat orang saksi. Dan saksi-saksi itu mestilah lelaki yang adil dan tidak fasik. Semuanya bertujuan untuk menjaga aib orang yang dituduh dan untuk memastikan tidak ada insan yang teraniaya dengan tuduhan itu.
Apa yang menimpa Adun Bukit Lanjan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong adalah sesuatu yang malang. Selepas gambar separuh bogel yang dirakamkan ketika beliau tidur disebarkan kepada media massa, MMS dan internet, Elizabeth mengambil keputusan meletakkan jawatan Exco dan Adun walaupun beliau sebenarnya teraniaya.
Atas dasar prinsip, Elizabeth sanggup melepaskan jawatan kerana bimbang masalah peribadinya itu akan dieksploitasi oleh musuh-musuh politiknya untuk memburuk-burukkan organisasi politik dan kerajaan negeri yang diwakilinya.
Setakat ini, ramai yang menyatakan simpati terhadap apa yang dialami olehnya termasuk Pergerakan Wanita MCA. Bagaimanapun, ada juga pemimpin Umno yang mendesak beliau meletakkan jawatan.
Antara yang terawal memberi komen ialah bekas Menteri Besar Selangor yang juga calon Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Mohd Khir Toyo. Turut sama mengalu-alukan keputusan Elizabeth untuk meletakkan jawatan ialah Ketua Menteri Melaka yang juga calon Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam.
Begitulah gelagat pemimpin Umno. Mereka sibuk dengan soal moral dan akhlak pemimpin-pemimpin bukan Islam (seperti yang menimpa Elizabeth dan Adun Bukit Selambau, V Arumugam di Kedah), tetapi tidak pula prihatin dengan akhlak dan moral para pemimpin parti mereka sendiri, yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Ketika Mohd Khir Toyo menjawat Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, tiga skandal peribadi membabitkan dua ahli Dewan Rakyat dan seorang ahli Dewan Negara Umno Selangor cuba dipendamkan beliau dari pengetahuan umum.
Khir tidak pula sibuk mendesak ketiga-tiga pemimpin Umno negeri itu supaya meletakkan jawatan, malah tempoh 'senatorship' salah seorang daripada mereka dilanjutkan!
Dan sebenarnya, jika skandal seks dan moral para pemimpin Umno didedahkan satu persatu kepada umum, pastinya kita akan loya dan muntah apabila mendengarnya!
Bagi mereka yang agak ragu-ragu, percayalah... Ini bukannya 'cubaan', tetapi benar-benar kejadian!
Penulis tidak berhasrat untuk mengaibkan mereka, tetapi cukuplah untuk memberi amaran kepada para pemimpin parti tertentu supaya tidak bertindak di luar batasan.
Mungkin ramai yang mengenali Tan Sri Abdullah Ahmad atau Abdullah Kok Lanas. Abdullah lewat kolumnya di sebuah akhbar berbahasa Melayu (ketika menerajui akhbar terbabit) pernah membangkitkan dilema yang dihadapi oleh para pemimpin parti sebuah negeri di Semenanjung untuk mencari seorang calon Menteri Besar. Calonnya sudah dikenal pasti, tetapi ada yang tidak bersetuju kerana bakal pemimpin itu dikenali sebagai seorang yang suka berpoya-poya ketika belajar di luar negara.
Tidak payahlah bagi penulis mendedahkan siapakah pemimpin itu. Bagi mereka yang ingin tahu, buatlah carian sendiri di perpustakaan ataupun arkib untuk membaca tulisan Abdullah Kok Lanas.
Ketika menjelang pilihan raya umum 1995, isu khalwat membabitkan seorang pemimpin muda PAS hangat diperkatakan. Para pemimpin Umno menggunakan isu ini semaksimum mungkin untuk menjatuhkan maruah PAS. Bagaimanapun dengan kebijaksanaan para pemimpin PAS, isu khalwat itu dapat ditangani dengan baik. Pemimpin muda PAS itu didapati tidak bersalah oleh mahkamah dan menang di kawasan parlimen yang ditandinginya dengan majoriti lebih besar.
Di waktu yang sama, para pemimpin PAS dan Harakah menerima maklumat daripada sumber yang tidak diketahui tentang skandal seks membabitkan seorang pemimpin parti lawan PAS yang juga diwar-warkan sebagai calon Menteri Besar di sebuah negeri Pantai Timur Semenanjung.
Lebih memeranjatkan, pemimpin terbabit pernah menerajui sebuah institusi agama dan kerap kali menyerang PAS dalam pelbagai isu agama dan politik. Malah beliau jugalah yang sering 'tumpang semangkuk' memberi komen dan mengulas tuduhan khalwat pemimpin muda PAS itu.
Penulis sempat bertemu dengan seorang pemimpin kanan PAS untuk mengesahkan maklumat yang diterima. Malah pemimpin PAS itu tidak menafikan maklumat yang diperolehi. Beliau bukan sahaja menjadi teman rapat pemimpin terbabit ketika kejadian itu berlaku, malah diminta menjadi wakil untuk meminang wanita tersebut bagi pihak pemimpin politik itu!
Bagaimanapun, skandal seks itu tidak dijadikan modal oleh PAS untuk memburuk-burukkan lawan politiknya. Meskipun begitu, para pemimpin parti tersebut diberitakan terpaksa mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu itu; khuatir jika ia dijadikan modal kempen oleh PAS negeri.
Dan ketika Setiausaha Perhubungan PAS negeri terbabit ditanya sama ada mahu menggunakan isu skandal seks itu dalam kempen pilihan raya, beliau penuh yakin berkata: "Itu bukan cara kita berpolitik."
Isu skandal seks pemimpin bukanlah suatu yang asing dalam politik negara. Seperti kata Menteri Besar Kedah ketika menjawab soalan wartawan berhubung dakwaan salah laku moral yang melanda bekas Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Bukit Selambau, V Arumugam: "Ada yang lebih teruk daripada itu, buat hubungan dengan suami dan isteri orang..."
Dan pastinya yang berperangai seperti itu ialah pemimpin Melayu yang beragama Islam.
Kita yakin kisah-kisah penarafan-X (x-rated) itu ada dalam 'kocek' Ustaz Azizan. Cuma sebagai pemimpin sebuah parti Islam, beliau tidak tergamak meluahkannya di khalayak umum.
Bukan akhlak dan moral PAS untuk bertindak seperti Umno. Tetapi jika keadaan sudah menjadi tidak terkawal dan BN secara berterusan menggunakan tektik kotor ini... Adakah pilihan lain bagi PAS?_ - ss -

PERTAHANKAN PPSMI, HISHAMUDDIN ' KERAS KEPALA ' - SALAHUDDIN

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) - Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub kesal dengan sikap 'keras kepala' Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Hussien yang masih mempertahankan Pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketika ditemui di Lobi Parlimen pada 17 Februari, Salahuddin menyatakan jawapan Hishamuddin yang terllau mempertanakan PPSMI amatlah mengecewakan banyak pihak.
"Saya kesal dengan kenyataan Hishamuddin dan sikap beliau yang langsuang tak dengar pandangan pelbagai pihak saya objektif dengan pandangan dan kajian Gapena, Perkasa dan tokoh-tokoh sasterawan negara A.Samad Said.
"Mereka ini dari segi perjuangan bangsa, kredibiltinya tak boleh dipertkai, tokoh ini melambangkan tingginya perjuangan bangsa Melayu," katanya.
Namun kata Salahuddin kenyataan Hishamuddin tadi langsung tidak hormati panadangan yang berredibiliti dari pejuang bahasa terutamanya Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).
Apa yang dilihat Hishamuddin yang juga Ketua Pemuda Umno 'keras kepala' dan hanya pentingkan satu legasi yang ditinggalkan manusia (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang menghancurkan perjuangan bangsa di negara ini, katanya.
Mengulas mengenai sikap membisu beberapa wakil rakyat Umno berhubung isu PPSMI, Salahuddin berkata 'mereka hanya berani berkokok dalam gelanggang sendiri'.
Sebaliknya di Dewan Rakyat mereka senyap dan langsung tidak menyatakan sikap, walhal mereka sebenarnya tidak suka dengan PPSMI, kata Salahuddin.
"Saya sebagai ahli Parlimen tetap akan ambil bahagian bincang dan membantah PPSMI termasuk melalui perbahasan di Dewan Rakyat, ini agenda penting dan ia agenda Pakatan Rakyat membela hak bangsa," katanya.
Terdahulu sebelum ditemui Harakah, Salahuddin bersama pimpinan PAS termasuk Dato' Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena0; Ketua Penerangan Pemuda PAS, Sihaizan Kaiyat dan Kamarudzzaman Mohamad (Pemuda PAS Wilayah) bersama-sama angkatan GMP antaranya, Dato' Hassan Ahmad; Ainun Mohammad; Abdullah Hassan; A.Samad Said dan profesor matematik, Dr Shahril Mohd Zain menyerahkan memorandum membantah PPSMI kepada Hishamuddin di Lobi Parlimenn pada jam 12.00.
Hishamuddin berjanji akan mengkaji memorandum itu, namun beberapa suara kalangan aktivis GMP yang hadir memperli Hishamuddin samada memorandum itu akan dikaji atau dibuang begitu sahaja.
Sementara pada jam 10.00 pagi, Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS TUan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menerima memorandum mendesak dimansuhkan PPSMI.
Kedua-dua tokoh penting Pakatan Rakyat itu sebelum ini menerima memorandum mengenai perkara yang sama sebelum pilihanraya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu daripada GMP.
Memorandum 12 halaman itu mengandungi kompilasi ringkasan hasil kajian beberapa ahli akademik tempatan berhubung pelaksanaan PPSMI diserahkan oleh pengerusi jawatankuasa induk GMP, Datuk Hassan Ahmad di Lobi Parlimen.
Anwar yang hadir menemui kumpulan itu dan menerima memorandum di pertengahan sidang media mereka, berucap ringkas: "Saya harap semua ahli parlimen Pakatan Rakyat terus memperjuangkan perkara ini (pemansuhkan PPSMI)."
Turut kelihatan ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin utama Pakatan juga hadir memberikan sokongan kepada gerakan itu.
Melihat sokongan itu, Dr Hassan secara berseloroh berkata: "Tak nampak pula orang-orang Umno."
Dalam sidang media di parlimen, Dr Hassan bagaimanapun berkata, tidak akan menyerahkan memorandum kepada semua ahli Parlimen, sebaliknya akan memberikan kepada "yang terpilih dan ketua-ketua sahaja". - ss -

February 16, 2009

PEMUDA PAS BANTAH PROGRAM MUSAWAH ANJURAN SIS - Parti Islam SeMalaysia

Oleh : Saidah Hairan
Friday, 13 February 2009
KUALA LUMPUR, 13 Feb - Lajnah Dakwah dan Pembelaan Dewan Pemuda PAS Pusat membantah program Musawah anjuran Sisters In Islam (SIS) di hotel Prince, Bukit Bintang pada 13 hingga 18 Februari ini.

Pengerusinya, Ustaz Riduan Mohd Noor berkata, program Musawah tersebut dirasmikan Penasihat Khas Perdana Menteri, Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil.
Menurut beliau, antara topik yang akan dibincangkan berhubung kesemarataan Islam, gender, poligami, faraid dan sebagainya yang menyentuh isu-isu sensitif berkaitan dengan Islam.
Katanya, SIS tidak berhak untuk mempromosi tentang Islam yang tulen disebabkan kedangkalan mereka serta berlatarbelakangkan profesional.
Beliau menegaskan Lajnah Dakwah dan Pembelaan Pemuda PAS Pusat akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Program Musawah itu membincangkan nilai-nilai Islam liberal 'New Muktazilah' oleh ulama gerakan Islam yang merupakan antara bentuk penyamaran baru musuh untuk mengelirukan fikiran umat Islam turut dipromosikan oleh TV3.
Antara penceramah yang terlibat Amina Wadud, Ziba Mir Hosseini, Muhd Khalid Masud, Hussein Muhd.
Riduan berkata topik yang sering dibincangkan tentang moral tidak boleh diperundangkan dan dosa-dosa peribadi bukanlah satu jenayah.
"Ini antara tunjang pemikiran Islam liberal yang kita lihat di negara umat Islam dan telah tersebar di Indonesia dan Pakistan," tegasnya.
Beliau melihat itu adalah fahaman musuh-musuh Islam sebab itu negara Indonesia gerakan itu ditaja oleh NGO Barat seperti Asia Foundation Corand dan di Indonesia menggunakan televisyen swasta termasuk majalah dan akhbar untuk mempromosikan fahaman Islam liberal.
Lajnah Dakwah dan Pembelaan Pemuda PAS Pusat menyeru kepada NGO Islam dan NGO yang memperjuangkan pemerkasaan Melayu untuk tampil membantah bersama-sama.
Katanya, jika mereka boleh berarak di jalan raya dalam isu mempertahankan Kesultanan Melayu konon ada pendurhakaan di Perak kenapa dalam isu Islam mereka tidak boleh membantah.
"Saya cabar mereka untuk tampil menentang program mempromosikan Islam liberal kerana ini juga merupakan agenda untuk meruntuhkan jati diri orang Melayu," tegasnya.
Beliau turut menyelar sikap Umno yang dengan sengaja membiarkan fahaman itu menular dalam masyarakat.
"Saya berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zahid Hamidi mengambil tindakan dan perlu melihat bahawa Islam liberal sebagai sebahagian ajaran sesat di negara ini dan seluruh dunia," tegasnya - ss -

February 13, 2009

UMNO YANG MENGHINA RAJA-RAJA MELAYU

Oleh : Buletin Online
Friday, 13 February 2009

KUALA TERENGGANU, 13 Feb - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyelar tindakan UMNO mengadakan himpunan kononnya menunjukkan sokongan kepada sultan, yang akan diadakan di PWTC, pada 19 Februari depan.
“UMNO juga yang menghina sultan! Dia (UMNO) yang menggubal perlembagaan yang merampas kuasa sultan, itu (himpunan) satu tindakan yang pura-pura, hipokrit,” katanya pada sidang media yang diadakan selepas Ceramah Dana Palestin, di Batu Enam, dekat sini, semalam.
Menurutnya himpunan tersebut bukan sahaja mainan politik, malah lebih teruk dari itu, kerana rakyat sudah mengetahui ‘tembelang’ UMNO yang sebenarnya.
Beliau turut menegaskan PAS tidak menyokong tindakan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Karpal Singh yang berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah kerana membenarkan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri tersebut.
“Ya, PAS tidak menyokong (Karpal), itu tindakan peribadi (beliau), bukan sahaja PAS, bahkan seluruh Pakatan Rakyat mengatakan kita tidak mahu bertembung dengan Sultan,
“Pertembungan kita dengan UMNO, dengan Barisan Nasional, kerana Sultan tidak berpolitik,” ujarnya ketika ditanya wartawan berkaitan perkata tersebut.
Mengulas tentang keadaan di negeri Perak, beliau berkata, rakyat akan menilai tindakan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Hj Mohammad Nizar Jamaludin yang bersetuju menyerahkan kembali kenderaan dan kediaman rasmi kepada kerajaan negeri.
“Itu satu tindakan yang dilihat oleh rakyat, rakyat akan menilai, menunjukkan bahawa kita (PAS) tidak gila kuasa, dan tidak tamak kuasa,
“Kita mahu supaya kekuasaan dapat dengan cara sopan, kerana kita mengambil jawatan itu dengan sopan,” katanya yang menambah Haji Nizar tak minta jawatan, dimana kita (PAS) diberi kepercayaan untuk memegang jawatan itu.
Beliau berkata Pakatan Rakyat menunggu proses pilihanraya kecil yang akan diumumkan hari ini oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia.
Katanya Pakatan rakyat akan bertanding dalam kedua-dua pilihanraya kecil tersebut, dimana Parti Kedilan Rakyat (PKR) akan melatakkannya calonnya di Bukit Selambau dan PAS akan bertanding dalam pilihanraya kecil palimen Bukit Gantang.
“(berkenaan) calon, kita akan lihat pandangan daripada bawah dan pandangan semua pihak,
setakat ni dah ada beberapa nama yang dikemukakan, adalah 4, 5, 6 orang, kita akan pertimbangkan, “Tempatan pun ada luar pun ada, kita akan lihat dari segi sejauh mana kaji selidik yang akan dihasilkan daripada bawah,”katanya apabila ditanya tentang calon-calon yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil itu.
Beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan UMNO-BN yang mengharamkan ceramah di negeri Perak sebagai satu tindakan yang pengecut dan penakut.
“Itu satu tindakan yang pengecut, yang penakut, sedangkan dia (kerajaan UMNO-BN) mempunyai kebebasan media yang masuk kedalam tiap-tiap buah rumah,
“itu satu tindakan yang ‘double-standard’ yang tidak demokratik, yang bercanggah dengan amalan demokrasi yang maju,”katanya.
Beliau menyeru kepada semua petugas dan penyokong Pakatan Rakyat agar menghadapi pilihanraya dengan baik dan bijak, sebagaimana yang telah ditunjukkan dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.
Beliau turut berpesan supaya menjaga tatatertib dalam pilihanraya kecil akan datang dan tidak melayan sebarang provokasi pihak lain.“InsyaAllah kita tidak akan terpengaruh dengan kalangan yang melakukan provokasi, (yang cuba) untuk melakukan sesuatu yang tidak diingini,
“Jika ada sesuatu tindakan (yang tidak diingini) itu bukan daripada kita (PAS), (tapi) daripada pihak-pihak lain,” jelasnya. - ss -

February 12, 2009

LAPORAN SPRM TERHADAP MB BARU - Malaysiakini

Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zamby Abd Kadir hari ini.Laporan tersebut dibuat di Ipoh pada jam 11 pagi tadi, oleh pemimpin DAP yang menuduh menteri besar itu menyalahguna kuasanya dengan melantik tiga orang penasihat yang bertaraf exco.Menurut Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, setiap penasihat tersebut akan menerima gaji sebanyak RM250,000 setahun.Turut hadir ialah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan kira-kira 20 orang penyokong parti itu.Semalam, Dr Zambry melantik tiga orang penasihat dan seorang ketua penerangan kerajaan negeri. Keempat-empat mereka akan mendapat imbuhan sama seperti ahli exco kerajaan negeri yang lain.Mereka terdiri daripada Datuk Mohd Najumuddin Elias yang dilantik sebagai penasihat Hal Ehwal Agama Islam; Datuk Chang Ko Youn (penasihat Hal Ehwal Kaum Cina), dan Datuk S Veerasingam (penasihat Hal Ehwal Kaum India) manakala Datuk Hamdi AbuBakar dilantik Ketua Penerangan Kerajaan Negeri.Chang merupakan timbalan pengerusi Gerakan peringkat nasional manakala Veerasingam adalah naib presiden MIC.Dalam pilihanraya umum lalu, Chang tewas di Parlimen Beruas manakala Veerasingam pula kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai.Mohd Najumuddin pula menang di DUN Batu Kurau, manakala Hamdi menang di DUN Pengkalan Baru.-ss-

February 11, 2009

Bukit Saga Tidak Harus Dipinggir - XPDC DPP Ampang Satu Permulaan




















Taman Bukit Saga, Ampang, 8hb Feb 09 / 13 Safar 1430 - Tepat jam 9 pagi, XPDC Amal Ampang telah memulakan pendakian yang di sertai 8 orang ahli Unit 'Amal Ampang. Antara matlamat XPDC ini adalah untuk merapatkan ukhuwah sesama ahli serta menimbulkan rasa tanggungjawab dan kerjasama sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT. Selain dari itu, XPDC ini juga berjaya sampai ke lokasi yang menjadi igauan setiap peserta iaitu 'air terjun' yang menjanjikan seribu satu kenikmatan dirasai.

Di sepanjang perjalanan, kami menemui dengan saudara-saudara dari kaum Tiong Hua yang merupakan 'pelanggan' tetap di sepanjang trek yang di sediakan. Ahli-ahli 'Amal senantiasa berakhlak dalam menjaga hubungan di antara satu sama lain dengan ucapan 'chow sun' (selamat pagi) kepada mereka. Alhamdulillah, XPDC selamat sampai ke tempat permulaan kira-kira jam 3 petang dengan rasa syukur yang tidak terhingga setelah mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran di sepanjang perjalanan XPDC ini. Bukit Saga, kami akan kembali lagi.

Tahniah diucapkan kepada ahli-ahli yang terlibat dan semoga kita mendapat keampunan serta keredhoanNya. Amiiin...

February 10, 2009

MATI DI JALAN ALLAH , CITA TERTINGGI KAMI

"Dato' Syed Hamid Albar dikatakan sudah menandatangani surat arahan menahan beliau atas sebab alasan menimbulkan huru hara dan menderhaka pada Sultan."

"Sebelum berangkat pulang dari Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak malam tadi seorang teman memaklumkan bahawa Menteri Besar Perak YAB Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan ditahan dibawah Akta ISA tak lama lagi. Dato' Syed Hamid Albar dikatakan sudah menandatangani surat arahan menahan beliau atas sebab alasan menimbulkan huru hara dan menderhaka pada Sultan.

Perkara ini seolah-olah benar-benar akan berlaku dimana petang semalam Menteri Pelancongan, Azalina Othman menyarankan agar Nizar ditahan di bawah akta ISA atas alasan mengingkari titah Sultan dan enggan melepaskan Jawatan. Semasa membuat kenyataan itu, Menteri Besar Haram, Zambry Abdul Kadir berada disebelah beliau.

Tidak cukup dengan itu, Ketua Umno Cheras pula mengusulkan agar gelaran Dato' Seri yang dianugerahkan oleh Sultan ditarik balik dalam erti kata lain dilucutkan segera kerana didakwa kononnya menderhaka pada Sultan.

Begitulah permintaan dan kehendak pemimpin Umno yang kini sudah kehabisan modal untuk menghapuskan pengaruh besar Nizar di Perak. Umno harus memahami bahawa kebangkitan rakyat Perak untuk membela Nizar dan Pakatan Rakyat adalah disebabkan oleh tindakan biadap Umno pada rakyat. Umno memainkan politik perkauman, menafikan hak kaum lain untuk mendapatkan layanan adil. Walhal Kerajaan Pakatan menjalankan tugas mereka dengan memberikan bantuan pada semua rakyat yang miskin dan tidak terbela tanpa mengira kaum. Ini berbeza dengan BN yang mengambil untung atas angin melalui program mengkayakan individu tertentu sahaja.

Seandainya gelaran Datuk Seri ditarik atau dilucutkan, ianya tidak mengapa kerana perasaan hormat rakyat pada Nizar bukan datang atas gelaran itu tapi kerana sifat peribadinya yang begitu disanjungi. Tapi kalau beliau ditahan dibawah akta ISA, maka satu lagi malapetaka besar akan melanda Umno di Perak. Rakyat secara keseluruhannya akan melihat bahawa itulah klimaks kezaliman Umno kepada Kerajaan Pakatan yang dizalimi melalui tindakan Kudeta yang tidak bermaruah.

Ini sekaligus akan memberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk Pakatan meraih sokongan khususnya Pas yang banyak berhadapan dengan Umno dikebanyakkan kerusi DUN dan Parlimen. Rakyat kini jelas bahawa ISA adalah senjata terakhir BN untuk menzalimi lawannya.
Maka jika itu yang mereka ingin lakukan, laksanakanlah. Pemimpin Pas tidak takut kerana kami diajar bahawa penjara itu adalah tempat kami beruzla dan mengumpulkan kekuatan. Mati itu cita-cita tertinggi kami.

Kepada ahli PAS dan Pakatan Rakyat diminta untuk bertenang dan tidak bertindak sembarangan. Kita ada pimpinan, dengar arahan mereka. Apa jua yang berlaku kita serahkan pada Allah. - ss -

February 7, 2009

Syukur Kepada Allah, Abdul Baba Akhirnya Temui Hidayah

Ustaz Fazlulrahimi Maarop (3 dari kiri), saudara Abdul Baba (4 dari kiri). Turut hadir saudara Saudara Che Mat Yusof, Ketua Kampung Tasik Permai (2 dari kiri), Saudara Zailani, Setiausaha Masjid Ubudiah (2 dari kanan) dan Saudara Shahril Shuhaimi, AJK Dewan Pemuda PAS Ampang (kanan sekali).

Masjid Ubudiah, Kg Tasik Tambahan, 6 Feb 2009 - Rasa syukur tidak terkira ketika menyaksikan Saudara Shanmugam, 62 atau nama Islamnya Abdul Baba Bin Abdullah dari Kg. Tasik Permai melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Fazlulrahimi Maarop yang merupakan Ahli Majlis MPAJ dan juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Ampang. Turut menyaksikan upacara tersebut ialah ratusan jemaah di masjid berkenaan sebelum al-fadhil ustaz menyampaikan tazkirah jumaatnya.

Inilah tanda kebesaran Allah yang memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Berkat akhlak mulia dan layanan baik kepada semua kaum oleh para muslimin dan muslimat, nikmat terbesar ini dikurniakan oleh Allah kepada yang menghargainya. Semoga saudara Abdul Baba dan semua muslimin muslimat akan terus kekal dalam iman sehingga ke akhir hayat, amiin. ~ AQ

February 6, 2009

JOM MASUK PAS - Kempen Dewan Pemuda

Taman Dagang Jaya, 4 Feb 2009 - Kalau dah biasa, tetap akan diteruskan juga. Begitulah halnya dengan Ust Fazlulrahimi Maarop, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang. Beliau bersama 3 orang lagi AJK DPP Ampang telah mengedarkan risalah 'Jom Masuk PAS' di sekitar Kg Tasik Tambahan dan Kg Tasik Permai jam 9.30 pagi ini.

Risalah tersebut antara lain menerangkan sejarah penubuhan PAS, mengapa mesti menyokong PAS, kelebihan menyertai PAS serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh PAS. Risalah ini adalah bertujuan untuk memberitahu kepada umum terutamanya mereka yang masih belum mengenali PAS agar semua kekeliruan dapat diatasi dan tidak lagi berburuk sangka terhadap PAS.

Pagi itu juga Ustaz Fazlul dan anggota-anggotanya terdiri daripada Saudara Shahril Shuhaimi, Saudara Syaman dan Aouis menggantung banner program 'Makan Sate Bersama YB Ustaz Nasharudin Mat Isa & YB Dato' Hj Mahfuz Omar' di Kg Baru Cina.

Semua dijemput hadir bagi mendengar amanat dan penerangan daripada pimpinan terutama berkenaan dengan isu yang sedang hangat sekarang. ~ AQ

PERTAHANKAN PERAK HINGGA TITISAN DARAH YANG TERAKHIR - Hrkh

IPOH, 6 Feb (Hrkh) - "Kita akan mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Perak sehingga ke titisan darah terakhir," demikian penegasan Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya yang membanjiri kediaman rasmi malam tadi.
Beliau yang memberi ucapan yang berapi dan penuh semangat demi mempertahankan kerajaan rakyat daripada dirampas oleh kerajaan BN.
Nizar dalam ucapan penutupnya itu berjanji akan berjuang habis-habisan untuk merobohkan Umno dan BN yang telah membuat rakyat negeri ini huru-hara.
Beliau juga berkali-kali membuat penegasan tidak akan meletak jawatan Menteri Besar biarpun sudah mendapat arahan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.
Terdahulu, beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat diberi peluang memberi ucapan antaranya, Exco Kanan Perak, Ngeh Koo Ham; Pesuruhjaya PAS Perak,Ustaz Ahmad Awang; Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub; Ketua Muslimat PAS,Ustazah Nuridah Salleh dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.
Orang ramai mula membanjiri kediaman Menteri Besar seawal jam 6 petang sebaik sahaja mendapat maklumat permit untuk berhimpun di Stadium Ipoh tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Suasana agak luar biasa, apabila rakyat berbilang bangsa Melayu, Cina dan India datang berduyun-duyun mendengar amanat pimpinan mereka, walaupun terpaksa duduk di atas rumput yang basah dek hujan turun bermula tengah hari itu.
Apa yang dikesali pihak polis pula bertindak menyekat laluan utama ke kediaman Menteri Besar pada seawal jam 7 malam menyebabkan orang ramai terpaksa berpatah balik.
Bagaimanapun, tindakan pihak berkuasa itu tidak mematahkan semangat rakyat Perak untuk sama-sama menunaikan solat hajat serta mendengar amanat pimpinan mereka di dalam dewan tertutup dihadapan perkarangan rumah menteri besar.
Sebaik selesai solat hajat, tiga buah trak polis yang membawa hampir 100 anggotanya tiba di pintu pagar utama kediaman, bagaimanapun tindakan pantas petugas Unit Amal bergegas membuat benteng di hadapan pagar untuk menghalang sebarang provokasi yang timbul.
Kain rentang yang tertulis ' Daulat Tuanku Rakyat Pohon Tuanku Bubarkan Dun Perak' dan 'Menuntut Bubarkan Dun, Kembalikan Kuasa Rakyat', jelas menggambarkan hasrat dan harapan rakyat yang menggunung tinggi terhadap kuasa Sultan.
Beberapa orang di kalangan hadirin yang ditemui masing-masing melahirkan kemarahan terhadap BN merampas kerajaan Perak tanpa saluran yang sah.
Seorang warga Tronoh berbangsa Cina, Hon Eng Kee, 47, yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati dan marah terhadap BN yang merampas kuasa secara tidak adil.
"Sepatutnya ada pilihan raya kecil, kita rakyat Perak harap Sultan dan BN keadilan dan demokrasi, kami tidak terima keputusan Sultan dan kami tidak puas hati," katanya.
Beliau juga berharap agar pilihan raya baru diadakan dalam masa terdekat.
Hon, juga beranggapan seperti wujudnya politik wang sehingga menyebabkan BN sanggup mengambil tindakan ini.
Sementara itu, Jayabalan, 28, yang berasal dari Ipoh pula kecewa dengan cara BN merampas kuasa.
"Tindakan mereka, seolah-olah membuat undang-undang sendiri sehingga mencetuskan huru-hara. BN tipu dan sultan tidak adil,"katanya.
Ditanya tujuan kehadiran beliau ke situ, katanya semata-mata untuk menyokong Menteri Besar Nizar yang dilihat ikhlas dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab rakyat.
Turut sama menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan BN di luar undang-undang iaitu Pravajaran, 25.
"Pentadbiran Pakatan Rakyat, ok... kerana ia membela nasib semua bangsa, kita tidak mahu tukar kerajaan yang sedia ada dan kita tetap sokong MB Nizar," katanya berharap pilihan raya dapat dijalankan.
Di akhir ceramah itu, orang ramai mengangkat ikrar akan sentiasa patuh kepada perlembagaan dan terus menjunjung kasih Sultan. - ss -

February 5, 2009

BUBAR DUN PERAK LANGKAH TERBAIK - HARAKAH

NAMPAKNYA berjayalah akhbar membantu Dato' Seri Najib Razak sehari dua ini. Pagi ini banyak orang mengelek akhbar. Di mana-mana sahaja orang mencari akhbar, tak kiralah berbahasa Melayu, Cina, India atau Inggeris.

Di tepi jalan, dekat pasar dan di gerai akhbar semua orang membelek surat berita. Mengapa mereka berlakuan aneh seperti itu.
Pertamanya sayang kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, kedua melihat kelibat sebenar Najib, belum berkuasa penuh sudah melatah dan ketiga menteri yang menjaga agama berkelakuan tidak sepadan dengan jawatan.
Selain itu memperlihatkan kerajaan Pakatan Rakyat di bawah Dato' Seri Nizar Jamaluddin mampu atau tidak diuji. Tidak mudah untuk menjadi dewasa politik seperti di Kelantan.
Fenomena tersebut sebenarnya sudah ditempohi di Kelantan selama empat tahun. Debar yang cukup panjang, sehinggga Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik keluar masuk hospital.
Bukan sekadar mendapat rawatan, sebaliknya terpaksa berehat dengan tugasan yang paling mencabar.
Kelantan ketika itu hanya dibezakan dengan satu kerusi. Dan kerusi itu pun dengan sekadar dua undi. Berbanding dengan apa yang berlaku di Perak sekarang sebenarnya jauh lebih selesa.
Perbezaan tiga kerusi, dikira sudah cukup selesa untuk meneruskan pentadbiran kerajaan.
Adun PAS di Kelantan pernah ditawar duit berguni
Sedangkan Kelantan sebelum Mac 2008 hanya berkuasa di atas dua undi dengan satu kerusi.
Biar pun Kelantan ketika itu dikata orang berada di hujung tanduk, namun jatidiri yang ada pada setiap 23 Adun tidak mampu digugatkan dengan sekarung duit.
Bekas Adun Kemuning, Haji Zakaria Yaakub mendedahkan pernah didatangi seseorang pada waktu Subuh dengan tawaran duit berguni.
Tawaran demi tawaran cuba mendatangi ramai Adun PAS sepanjang empat tahun itu. Cuba anda bayangkan dalam tempoh lebih 48 bulan Adun PAS di Kelantan cuba dikelabui dengan umpan kebendaan.
Sedangkan di Perak hanya 11 bulan, ada wakil rakyat Pakatan Rakyat sudah kelabu mata.
Inilah pentingnya dinamakan orang jati diri. Dalam Islam disebut sebagai aqidah.
Meneliti isu sekarang ramai sarjana mencadangkan langkah terbaik membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).
Pensyarah Kanan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, krisis politik di Perak tercetus hasil keputusan pilihan raya umum ke-12, yang meletakkan Pakatan Rakyat memerintah dengan majoriti tiga kerusi.
Membentuk kerajaan negeri yang sangat lemah, meski tenang dan berkebolehan.
"Tiba-tiba bangkit krisis tercetus apabila dua Adun iaitu Jamaluddin Mohd Razi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) ditangkap atas tuduhan korupsi berbilang-bilang dan seksual," katanya di hubungi di sini.
Sejak itu bertebar perbalahan dan persengketaan secara tiba-tiba, sekali lagi memunahkan aspirasi rakyat Perak untuk mendiam negeri yang aman dan tenang.
Keadaan tambah gawat lagi apabila Nasaruddin Hashim (BN-Bota) pula mencabut kesetiaan daripada Umno seketika untuk bersama-sama Pakatan Rakyat.
Kemudian tambah kusut lagi kehilangan Adun DAP, Hee Yit Fong yang juga Timbalan Speaker.
"Akhirnya berlakulah perbalahan internal bila mana Speaker DUN Perak mengumumkan kedua-dua Adun telah meletakkan jawatan dan mengisytiharkan kerusi tersebut kosong.
"Kemudian Adun terbabit pula menafikan mereka meletak jawatan sebaliknya sekadar keluar dari KeADIlan. Disambut pula seorang Adun DAP dengan tindakan yang sama.
"Manakala Adun BN yang baru menyertai KeADIlan meski pun baru seminggu menyebut dia tidak akan kembali ke pangkuan Umno melukakan semula perasaan rakyat Perak," ujar Dr Abu Hassan.
Di tengah-tengah gembiranya Najib, jangan lupa peristiwa Mac 2008. Sultan Terengganu dan Raja Perlis sudah mempamerkan kuasa mereka. Bukan lagi mengikut rentak orang politik.
Tidakkah Sultan Perak bekas Ketua Hakim Negara. Dan tentunya masalah yang berlaku di saat ini baginda sangat arif mengenainya. - ss -

February 3, 2009

TAMRIN ( LATIHAN ) UNIT 'AMAL SELANGOR


























Kg Labohan Dagang, Banting , Selangor - 31 hb Jan 09 bersamaan 5 Safar 1430, Sabtu - Bertempat di Pondok Bustanul 'Arifin , Unit 'Amal Ampang telah menghadiri Tamrin Amal Selangor yang di adakan selama tiga hari dua malam untuk memantapkan lagi Pertubuhan Badan Berunifom Unit 'Amal bagi mendekatkan diri dengan masyarakat.Program tersebut menarik minat 5 orang Pemuda dari Kawasan Ampang ; antaranya Saudara Anuar Zaari, Saudara Syafiq bin Abdullah,Saudara Ahmad Safuan , Saudara Hamdi dan Saudara Shahril.

Keseluruhan peserta yang hadir di anggarkan hampir 150 dari setiap Kawasan seluruh Negeri Selangor.Antara acara yang di laksanakan adalah qiyamulail,solat berjemaah,kuliah @ tazkirah jihad,aktiviti berkumpulan,liga bolasepak,kawad kaki,gotong-royong dan tidak ketinggalan acara jalan malam bagi memantapkan Iman seseorang terhadap Allah SWT.Dari setiap acara yang di jalankan,'jalan malam' adalah merupakan proses penapisan/pengujian sejauh mana keyakinan kita kepadaNya dengan mengharungi jalan sukar selama hampir setengah jam di laluan ladang kelapa sawit dengan berseorangan diri pada waktu 2/3 malam.Dengan kerjasama dari pihak Urusetia,Alhamdulillah tiada sebarang kejadian yang tidak di ingini berlaku walaupun terdapat sedikit 'gangguan' di sepanjang laluan.

Walau apapun, tahniah di ucapkan kepada Penganjur Program Tamrin , Jabatan 'Amal Negeri Selangor dengan kerjasama Pengurusan Pondok Bustanul 'Arifin bagi menjayakan Program ini.Semoga, segala usaha yang di lakukan mendapat Rahmat dan Keredhoan dari Allah SWT. Insya Allah,jika di izinkan kita bertemu dalam Program yang akan datang. Amiin - ss -